arena

Irfan lima terbaik asia

Oleh Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Hanya dalam tempoh dua hari atlet lempar cakera negara, Muhamad Irfan Shamsuddin meletakkan dirinya dalam kelas tersendiri apabila sekali lagi memecahkan rekod kebangsaan dan Asia Tenggara miliknya.

Beraksi di Turnov, Republik Czech atlet berusia 22 tahun itu membuat lontaran 61.56 meter memadamkan rekod kebangsaan diciptanya, 61.10m di Kejohanan Hallesch Werfertage di Halle, Jerman, Ahad lalu.

Bagi Irfan, kejayaan memecahkan rekod kebangsaan sekali lagi dalam tempoh dua hari cukup menggembirakan ketika tidak meletakkan sebarang sasaran kerana sedar saingan dihadapi.

“Sasaran saya cuma satu. Saya mahu melakukan yang terbaik dalam setiap pertandingan disertai.

“Saya tahu jika saya berjaya melakukan itu, keputusan lebih baik akan diperoleh,” katanya.

Bagaimanapun, Irfan menamatkan cabaran di kejohanan itu di kedudukan keempat yang mana menyaksikan atlet dari Jerman Martin Wierig meraih emas dengan balingan 64.73m, diikuti Piotr Malachowski (64.53m) dan Robert Urbanek (63.70m), masing-masing dari Poland.

Catatan Irfan itu menyaksikan dia berada dalam kelompok lima terbaik Asia dan 100 dunia.

Seandainya berjaya mengekalkan rentak, atlet berasal dari Negeri Sembilan itu berpeluang besar meraih pingat di Sukan Asia 2018 Palembang.

Namun, agak sukar bagi Irfan sekiranya mahu beraksi di Kejohanan Dunia kerana perlu melepasi balingan 65m sebelum 23 Julai ini.

Irfan masih mempunyai tiga lagi kejohanan di Switzerland, Austria dan Hungary sebelum kembali ke tanah air menghadapi Kuala Lumpur 2017.

Disiarkan pada: May 25, 2017 @ 9:54am
d