arena

Kamarul bukti kehebatan

Tanah Merah: Pengalaman menjuarai beberapa siri perlumbaan sukan permotoran lasak memberi kelebihan kepada Ahmad Kamarul Munir Abdul Rahsid, 27, memenangi dua kategori dipertandingkan pada kejohanan Tanah Merah Motorcross Race (TMMX) 2017, baru-baru ini.

Dia berjaya mengungguli 100cc Cub Cross dan CKD 150 dalam saingan di Litar Bukit Tebu itu.

Seramai 45 pelumba dari seluruh negeri menyertai kejohanan dianjurkan TMMX Club dengan kerjasama Pergerakan Pemuda UMNO Tanah Merah.

Kamarul Munir berkata perlumbaan itu agak sengit dengan keadaan trek cukup mencabar terutama bagi kategori 100cc Cub Cross.

“Saya diekori rapat pelumba dari Bintang Racing Team Terengganu dari awal hingga tamat perlumbaan.

“Bagaimanapun berbekalkan pengalaman memenangi beberapa kejohanan sebelum ini membolehkan saya muncul juara untuk dua kategori itu,” katanya.

Kamarul Munir pernah meraih tempat kedua acara 100cc Cub Cross dan CKD Kejohanan FIM Asian Motorcross 2017 di Litar Gong Badak, Kuala Terengganu, Mac lalu.

Disiarkan pada: May 25, 2017 @ 10:12am
d