arena

Allardyce tak lagi kemudi Palace

London: Sam Allardyce mengumumkan beliau meletak jawatan sebagai pengurus Crystal Palace selepas hanya lima bulan mengendalikan kelab Liga Perdana itu kerana alasan keluarga.

Pengurus berusia 62 tahun itu, sebelumnya membimbing England bagi hanya satu perlawanan berkata, beliau “tidak berhasrat untuk mendapatkan tugas baru”, mengakui beliau mengecewakan kelab yang menawarkannya “peluang untuk memulihkan diri.”

Allardyce mengambil alih di Palace daripada Alan Pardew, Disember lalu dengan kontrak dua setengah tahun dan mengemudi Eagles menang lapan daripada 21 perlawanan. Mereka berakhir di tangga ke-14 liga.

“Dalam pada itu, ini satu keputusan yang amat sukar untuk dibuat, namun ia juga sesuatu yang mudah,” kata Allardyce berikutan rundingan dengan pengerusi kelab Steve Parish.

“Saya berterima kasih kepada Crystal Palace dan Steve Parish kerana memberi saya peluang untuk membantu kelab ini kekal dalam Liga Perdana.

“Lebih daripada itu, mereka memberi saya peluang untuk memulihkan reputasi selepas apa yang berlaku bersama England.”

Allardyce hilang tugasnya sebagai pengurus England berikutan pendedahan dalam suratkhabar. Beliau hanya sempat bertugas 67 hari dan mengendalikan satu perlawanan. - AFP

Disiarkan pada: May 25, 2017 @ 10:22am
d