arena

Sasaran tiga mata tercapai

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Alor Setar: Kemenangan selesa 3-0 di halaman sendiri menentang T-Team malam kelmarin menyuntik semangat pemain Kedah untuk terus memburu kemenangan di bawah ketua jurulatih baru Mohd Nidzam Adzha Yusoff.

Nidzam berkata, walaupun pemainnya baru beraksi di pentas final Piala FA, mereka berjaya mengekalkan momentum dan mengutip tiga mata penuh.

“Sasaran utama adalah tiga mata walaupun kami mahu mencari jumlah gol besar untuk mengukuhkan kemenangan.

“Kami juga berdepan dengan beberapa pemain belum pulih daripada kecederaan selepas perlawanan final Piala FA tempoh hari, namun berjaya mengharunginya,” katanya.

Katanya, beliau juga berpuas hati dengan aksi pemain pertahanan tetapi masih ada ruang perlu diperbaiki dan kemasukan penjaga gol simpanan Abdul Hadi Hamid yang lama tidak bermain membantu menyelamatkan beberapa percubaan bahaya.

“Selepas mendapat tiga gol pada separuh masa pertama, motivasi pemain meningkat dengan tekad tidak mahu bolos dan akhirnya kami berjaya kekalkan kedudukan itu.

“Walaupun berpuas hati dengan kedudukan ketiga terbaik setakat ini, untuk aksi seterusnya, kami berazam mahu terus memberi saingan dan mengejar dua pasukan teratas, Pahang dan Johor Darul Ta’zim,” katanya.

Menurut Nidzam, selepas berbincang dengan pihak kejurulatihan, beliau memberi rehat dua minggu kepada semua pemain sebelum menyambung latihan pada Ramadan nanti.

“Ketika Ramadan juga kami akan mengatur satu dua perlawanan persahabatan bagi mengekalkan prestasi semua pemain.

“Saya juga berharap seorang lagi pemain import pertahanan iaitu Zachary Anderson yang tidak dapat beraksi kerana kecederaan mampu pulih dalam tempoh itu untuk kembali beraksi,” katanya.

Disiarkan pada: May 26, 2017 @ 8:57am
d