arena

Malik bangga ikat Sabah

Kuantan: Biarpun gagal membantu Kuantan FA meraih tiga mata, kapten Abdul Malik Mat Arif yang melakar hatrik tetap berbangga selepas mengikat Sabah 3-3 kelmarin.

Bekas pemain Pahang itu berkata, jaringan minit akhir bukan saja bermakna malah memastikan satu mata tetap diraih The Seagulls di laman sendiri.

Katanya, walaupun pada awalnya ketinggalan 1-2 pada separuh masa pertama dan 2-3 selepas rehat, jaringan minit akhirnya memastikan satu mata dapat diraih.

“Saya sememangnya tidak sangka menjaringkan tiga gol malam tadi (kelmarin) tapi keputusan seri ini begitu bermakna buat kami untuk terus memberikan saingan.

“Sebagai ketua pasukan, saya berbangga dengan semangat dipamerkan dan percaya aksi lebih baik akan ditampilkan sebaik saingan Liga Perdana bersambung Julai nanti,” katanya.

Pada perlawanan kelmarin, Malik menjaringkan gol pada minit ke-26, 66 dan 90 manakala Sabah memperoleh jaringan menerusi Maxsius Musa pada minit ke-6, Leopold Alfonso Otong (m-44) dan Lee Gillhoon (m-47).

Hatrik Malik itu membolehkannya mengumpul lapan gol dalam saingan Liga Perdana setakat ini.

Disiarkan pada: May 26, 2017 @ 9:00am
d