arena

Velodrom pelbagai guna

Oleh Azlan Muhammad Zain

Nilai: Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar memberi jaminan Velodrom Nasional Malaysia di Nilai akan dipenuhi pelbagai program selepas berakhirnya Sukan SEA Ogos nanti.

Malah kawasan persekitaran velodrom akan dibangunkan menjadi kompleks Majlis Sukan Negara (MSN) bagi menggantikan venue latihan bagi beberapa jenis sukan di MSN Keramat.

“Kami akan pindahkan program trek yang bukan saja membabitkan atlet pelapis namun Junior Cycling Malaysia (JCM).

“Kami akan pastikan setiap minggu ada pertandingan dan latihan diadakan di sini. Malah kita akan mengadakan hari terbuka kepada orang ramai untuk menggunakan velodrom dengan tunjuk ajar pegawai MSN,” katanya.

Lebih menggembirakan Khairy, kerajaan Negeri Sembilan turut bersetuju membina kompleks MSN Nilai bagi menggantikan Keramat.

“Jadi sukan tinju, sepak takraw dan memanah akan dipindahkan ke sini. Kita bercadang mengambilalih Stadium Tertutup Nilai yang terletak bersebelahan dengan velodrom serta bakal membina asrama.

“Kompleks MSN Keramat akan diambil alih Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi tujuan pembangunan. Perjanjian saya adalah kontraktor akan membina semula kompleks yang baru. MSN Nilai akan dilaksanakan dalam masa terdekat,” jelasnya.

Sementara itu Khairy turut menjelaskan kerajaan menerusi Rancangan Malaysia Ke-11 mempertimbangkan untuk membina tujuh Mini Trek Berbasikal (Banking) di negeri yang dikenal pasti seperti Kelantan, Kedah, Sabah dan Johor.

Malah menurutnya, velodrom di Dungun sudah mempunyai peruntukan dengan lantikan kontraktor akan bermula awal tahun depan.

Disiarkan pada: May 26, 2017 @ 9:54am
d