arena

Bola Shebby: Harap impak Vingada

Oleh Serbegeth Singh

Setiap peminat sudah tentu merasakan debaran apabila bola sepak Malaysia bermula mengorak langkah menuju era baru, sekali gus melonjakkan harapan seperti degupan hati.

Dua perkara yang menjadi tumpuan sebelum ini sudah diputuskan.

Pertama, pemilihan ketua jurulatih kebangsaan yang pada asalnya meletakkan Mario Gomez sebagai calon pilihan, tapi kini diisi Nelo Vingada (gambar). Daripada seorang jurulatih atau calon yang menawan hati penyokong serta peminat dengan transformasi bola sepak Johor Darul Ta’zim (Johor DT), kita pula terpaksa menerima seorang jurulatih yang boleh digelar ‘old school’ kerana kebolehan beliau menjadi penolong yang taat atau ‘journeyman’ lantaran sering melompat dari pasukan ke pasukan.

Memang tidak dinafikan Vingada pernah menjadi jurulatih pembangunan dengan membantu Carlos Queiroz membina tapak untuk pasukan di bawah umur. Tapi pemain yang di kendalikan dengan begitu berjaya di peringkat umur gagal menyerlah bersama pasukan kebangsaan.

Rata-rata, pendapat mereka yang tahu pasal bola sepak, termasuk pemain Portugal yang pernah beraksi di Piala Dunia dan Kejohanan Eropah, adalah Vingada ‘seorang yang sangat baik.’

Kita berharap pengalaman serta pengetahuan dimilikinya akan membantu pasukan kita mencapai matlamat beraksi di Piala Asia 2019.

Perkara kedua pula membabitkan pemilihan skuad negara. Tapi di sini harus diingat skuad ini [dipilih’ untuk Vingada kerana sebab-sebab tertentu. Dan jelas pemilihan ini kurang memberangsangkan.

Sekali lagi, impak besar diharapkan tidak berlaku dan diakui pemilihan itu agak negatif. Daripada pemain disenaraikan, 11 daripadanya dari Johor DT.

Empat daripada 11 pemain ini adalah golongan pesara. Empat lagi pemain, Mahali Jasuli, Azamuddin Akil, S Chanturu ialah pemain simpanan termasuk penjaga gol Izham Tarmizi.

Mujur pemain seperti Khairul Helmi Johari, Syazwan Zainon, Rizal Ghazali, Akram Mahinan serta Baddrol Bakhtiar baru saja muncul juara Piala FA manakala Muhd Nor Azam Abdul Azih seorang pemain berpotensi tinggi.

Satu cabaran Vingada adalah tahap kecergasan pemain.

Adakah beliau sedia mengambil risiko menurunkan pemain yang tidak mendapat tempat dalam kesebelasan utama pasukan mereka?

Adakah Vingada sedia berkongsi tahap kecergasan pemain Arab Saudi yang dilatihnya pada 1996 supaya kita sedar akan tahap kecergasan pemain sedia ada? Adakah Vingada juga akan telus dalam mendidik pemain dan jurulatih.

Kita berharap segala-galanya akan berjalan lancar selepas permulaan yang suam-suam kuku.

Disiarkan pada: May 27, 2017 @ 2:27am
d