arena

Salahkan hujan!

Oleh Muhammad Apendy Issahak

Ipoh: Perak meneruskan saingan Liga Super tanpa kemenangan sejak Mac lalu apabila sekali lagi hanya mampu seri tanpa jaringan dengan Sarawak dalam perlawanan di laman sendiri di Stadium Perak malam kelmarin.

Jurulatih Mehmed Durakovic bagaimanapun merasakan skuad The Bos Gaurus sepatutnya beroleh kemenangan mudah pada perlawanan terakhir sebelum liga berehat sempena Ramadan dan Aidilfitri, namun keadaan padang becak dan hujan lebat menjejaskan rentak permainan.

“Saya rasa kami sepatutnya mudah boleh mendapat tiga mata kerana memperoleh banyak peluang menjaringkan gol, namun keadaan padang susulan hujan merencatkan permainan selain penjaga gawang lawan bertindak cemerlang menafikan beberapa percubaan menarik.

“Agak kecewa kerana semua pemain sudah memberikan 100 peratus namun sukar untuk bermain bola sepak baik dengan keadaan hujan lebat kerana kami tidak dapat bermain ikut rentak yang dimahukan,” katanya.

Menurutnya, sudah lima perlawanan di laman sendiri Perak bermain dalam hujan dan kesemuanya tanpa kemenangan.

“Secara jujur saya rasakan perlawanan malam ini (kelmarin) mungkin patut dibatalkan, tapi tiada apa yang kami boleh lakukan selain meneruskannya,” katanya.

Bercakap mengenai moral pemain yang masih gagal mencapai kemenangan dengan kali terakhir memperoleh tiga mata adalah ketika menentang Selangor pada 4 Mac lalu, jurulatih berkenaan mengatakan pasukannya masih berada di landasan betul.

Perak kini mengumpul 18 mata di tangga keempat liga selepas 13 perlawanan dengan empat menang, enam seri dan tiga kalah.

Disiarkan pada: May 27, 2017 @ 2:37am
d