arena

Zahasmi kekal

Oleh Azlan Hafeedz

Kota Bharu: “Rahmat Ramadan. Saya bersyukur dengan keputusan KAFA (Persatuan Bolasepak Kelantan) untuk kekalkan saya sebagai ketua jurulatih,” kata Zahasmi Ismail yang jelas gembira ketika mengulas mengenai kedudukannya semalam.

Bagi Zahasmi, soal jawatan bukan perkara utama kerana yang penting, memartabatkan maruah Kelantan.

Bahkan, pengendali berusia 51 tahun itu turut bersetuju dengan KAFA untuk melantik Pengarah Teknikal Alfredo Gonzales sebagai jurulatih bersama.

Keputusan berkenaan dianggapnya sebagai peluang terbaik untuk berkongsi idea serta mencari tonik baru dalam usaha memantapkan The Red Warriors (TRW) menjelang kempen Piala Malaysia.

“Dua hadiah Ramadan terbaik daripada Tan Sri (Annuar Musa). Beliau mengumumkan sistem bonus baru (bakal diperkenalkan) kepada pasukan dan juga pembayaran gaji terkini sebelum Aidilfitri.

“Kami berterima kasih kepada beliau kerana mengambil langkah tepat, sekali gus menyuntik semangat pemain untuk mengharungi baki saingan Liga Super dan Piala Malaysia,” katanya.

Arena Metro kelmarin melaporkan, kedudukan Zahasmi sebagai pengendali Kelantan goyah apabila KAFA berhasrat menggantikannya dengan Gonzales.

Isu itu timbul selepas Annuar yang juga Pengerusi Konsortium Al-Hamra membayangkan hasrat mahu menggunakan bola sepak gaya Amerika Latin selepas kecewa dengan prestasi hambar TRW ketika bertemu Pulau Pinang, Rabu lalu.

Terdahulu, Annuar menerusi Facebook miliknya kelmarin memberitahu beberapa langkah akan diambil termasuk membayar gaji semasa pemain sebelum Aidilfitri.

“Sistem bonus baru juga akan diperkenalkan penaja bagi memberi nafas baru kepada skuad TRW.

“(Mahamdou) Danso, (Margaro) Gomis, Bako (Abou Bakr Al-Mel) dan (L Imam) Seydi termasuk Alfredo akan menampilkan TRW menjadi lebih mantap. Insya-Allah,” katanya.

Disiarkan pada: May 28, 2017 @ 2:20am
d