arena

Lebur rekod 23 tahun

Oleh Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Arena olahraga negara semakin panas apabila seorang lagi atletnya Rayzam Shah Wan Sofian (gambar) memecahkan rekod kebangsaan berusia 23 tahun dalam acara 110 meter lari berpagar.

Atlet kelahiran Sabah itu merekodkan 13.64 saat ketika beraksi pada kejohanan di Weinheim, Jerman, semalam sekali gus meleburkan rekod kebangsaan milik Nur Herman Majid.

Rayzam memadamkan rekod Nur Herman 13.73s yang dilakarkan pada temasya Sukan Asia di Hiroshima, 15 Oktober 1994.

Pada usia 29 tahun, Rayzam langsung tidak menjangka dia kini bergelar pemegang rekod kebangsaan.

“Saya masih tidak percaya boleh mencatatkan masa itu. Ia sesuatu yang cukup menggembirakan,” katanya.

Rayzam kembali ke Liepzig pada 9 Mei lalu untuk berlatih bersama jurulatihnya dari Jerman Jan Erasmus May, tiga minggu selepas pulang dari Afrika Selatan.

Dia berada di prestasi terbaiknya apabila merekodkan 13.85s pada perlumbaan akhir Kejohanan Olahraga di Zeulenroda, Jerman, Khamis lalu.

Nyata pengorbanannya itu untuk menebus emas yang kali terakhir dimenanginya di Sukan SEA 2007 Korat, berbaloi dan kini semakin berpeluang cerah merealisasikan impian itu selepas pesaing utama dari Thailand, Jamras Rittidet bersara daripada olahraga.

Jamras dianggap musuh tradisi Rayzam apabila pelari negara itu sekadar meraih perak sejak tiga edisi selepas tewas kepada lawannya itu.

Kali terakhir dia tewas kepada atlet Thailand itu adalah di Sukan SEA Singapura dengan Jamras mencipta rekod baru kejohanan 13.69s, meninggalkan Rayzam di tempat kedua dengan 13.97s.

Pesaing utama Rayzam ketika ini ialah Anouxone Xaysa dari Laos yang mempunyai catatan terbaik peribadi 14s.

Disiarkan pada: May 28, 2017 @ 2:35am
d