arena

Permusuhan Vettel, Hamilton

Oleh AP

Monaco: Permusuhan antara dua juara Formula Satu Lewis Hamilton dan Sebastian Vettel akan sekali lagi diuji apabila Grand Prix Monaco membuka tirainya apatah lagi litar berkenaan tidak pernah menaruh sebarang rasa kasihan terhadap pelumba.

Selepas lima perlumbaan, juara empat kali, Vettel memiliki kelebihan enam mata di depan juara tiga kali, Hamilton. Masing-masing menjuarai dua perlumbaan setakat ini dan apa yang menariknya, musim 2017 adalah perebutan pertama membabitkan kedua-duanya.

Ketika Vettel mendominasi perlumbaan bersama Red Bull dan muncul juara pada musim 2010-13, Hamilton masih terkial-kial dengan jentera McLaren. Apabila Hamilton menyertai Mercedes pada tahun berikutnya, Vettel pula berdepan masalah dengan Red Bull. Selepas berpindah ke Ferrari pada 2015, pelumba Jerman itu gagal menghulurkan saingan kepada Hamilton atau bekas rakan sepasukannya, Nico Rosberg.

“Ketika dia berlumba bersama Red Bull, sudah tentu saya mengharapkan jentera saya lebih pantas bagi memberikan saingan kepadanya,” kata Hamilton. “Mungkin itu juga yang difikirkannya sejak beberapa tahun lalu. Tidak timbul soal dia pemandu hebat atau tidak kerana dia sentiasa membuktikan kebolehannya.”

Walaupun mereka berkongsi 99 kemenangan Formula Satu setakat ini, ini adalah tahun pertama Hamilton dan Vettel benar-benar bersaing di litar.

“Anda perlu menghormati usaha keras yang dilakukan sesiapa saja,” kata Vettel. “Kami berbeza. Tetapi kami mempunyai perhubungan yang kuat.”

Persaingan antara kedua-duanya memang menarik dan menjadi satu kebanggaan buat Hamilton kerana dapat berlumba dengan pemandu yang sangat dihormatinya.

Sejak tiga tahun lalu, Hamilton bersaing dengan Rosberg dan ada kalanya hubungan dingin mereka mencetuskan kebimbangan buat pasukan, Mercedes.

Pemergian Rosberg boleh dianggap sebagai melegakan Mercedes kerana pasukan itu tidak lagi perlu melayan perbalahan kedua-duanya.

Disiarkan pada: May 28, 2017 @ 2:46am
d