arena

Kim Swee uji pemain di China

Petaling Jaya: Tiga aksi persahabatan di China menjadi medan terbaik buat pengendali Skuad Projek Sukan SEA 2017, Datuk Ong Kim Swee mengenali dan menguji karakter 26 pemain yang disenaraikan pada kem latihan kali ini.

Kim Swee, 47, yang dilantik ke jawatan itu bagi menggantikan pengendali sebelum ini Frank Bernhardt mengakui terpaksa mengekalkan sebilangan besar muka lama dengan hanya menambah beberapa pemain baru atas faktor kesuntukan masa.

Dengan temasya Sukan SEA hanya berbaki tiga bulan saja selain turut beraksi dalam Kelayakan B-23 Asia pada pertengahan Julai ini, nyata beliau tidak mempunyai pilihan lain untuk mengubah pasukan itu.

“Saya tak nampak banyak perubahan kerana kami hanya mempunyai 80 atau 90 hari menjelang Sukan SEA dan kelayakan Asia 50 hari.

“Jadi, saya tak boleh mengubah pemain dengan skuad terdahulu disenaraikan semula termasuk beberapa pemain yang saya kesan boleh diketengahkan ke skuad kebangsaan,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan pertama di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), di sini, semalam.

Selepas menjalani latihan di Wisma FAM selama 10 hari bermula semalam, skuad Projek Sukan SEA atau dikenali juga sebagai pasukan B-22 akan terbang ke Xiangtan, China pada 8 Jun untuk menghadapi perlawanan persahabatan pertama menentang skuad B-22 China pada 10 Jun.

Kemudian mereka akan terbang pula ke Guangzhou, China pada 11 Jun untuk baki dua lagi aksi persahabatan bertemu skuad simpanan Guangzhou R&F pada 13 Jun dan skuad simpanan Guangzhou Evergrande pada 15 Jun sebelum terbang pulang ke tanah air pada 16 Jun.

Disiarkan pada: May 30, 2017 @ 8:04am
d