arena

Vettel puas tawan Monaco

London: Sebastian Vettel sudah memenangi banyak perlumbaan dalam kariernya, sesetengahnya lebih mengujakan namun kemenangan satu-dua pemandu Jerman itu di Monaco sesuatu yang istimewa buat penyokong Ferrari yang dahagakan kejayaan akhir-akhir ini.

Kali terakhir pasukan Itali itu menang di litar jalanan Mediterranean adalah 16 tahun lalu - pada 2001 ketika warga senegara Vettel, Michael Schumacher mengetuai kemenangan satu-dua.

Schumacher, juara dunia tujuh kali, menamatkan kemarau sama 16 tahun Ferrari di Monaco pada 1997 dengan kemenangan yang menyusuli kejayaan pemandu kegemaran peminat Gilles Villeneuve pada 1981.

Villeneuve, Schumacher, Vettel. Nama itu akan diingati namun apa yang penting keputusan dan perbezaan antara enam perlumbaan pertama Schumacher pada 2001 dan persembahan semasa Vettel membuatkan ramai teruja di Maranello.

“Kami berdepan banyak kesukaran tahun lalu dan tahun ini semuanya kelihatan berubah - tapi pasukan ini tetap sama, orangnya semua sama,” ujar Vettel.

“Saya fikir dalam situasi ini anda hanya sedar bahawa ia satu kelompok orang yang istimewa.” - Reuters

Disiarkan pada: May 31, 2017 @ 10:11am
d