arena

Vieirinha penyelamat Wolfsburg

Berlin: VfL Wolfsburg terjamin tempat dalam Bundesliga musim depan apabila pemenang Euro 2016, Vieirinha menyumbat gol kemenangan 1-0 ke atas Eintracht Braunschweig di laman lawan yang membantu mereka menang 2-0 secara agregat pada aksi play-off penyingkiran.

Selepas menang aksi di gelanggang sendiri minggu lalu 1-0 menerusi gol penalti Mario Gomez, Wolfsburg selamat apabila Vieirinha merembat masuk gol kemenangan sebaik selepas rehat.

Percubaan Yunus Malli diselamatkan namun bola itu singgah di kaki pemain sayap Portugal itu yang merembat kencang dari penjuru kotak penalti.

Ia penamat mengecewakan buat Braunschweig, yang menduduki tangga ketiga divisyen dua Jerman untuk berpeluang menentang Wolfsburg, juara Jerman 2009 yang berakhir di tangga ke-16 Bundesliga.

“Saya gembira dan lega,” kata Andries Jonker, jurulatih ketiga Wolfsburg musim ini selepas Dieter Hecking dan Valerien Ismael masing-masing dipecat pada Oktober dan Februari lalu.

“Saya juga memahami kelegaan pemain dan penyokong, tapi ia pencapaian minimum kami jadi saya fikir tiada alasan untuk meraikannya,” jelas pengendali dari Belanda itu.

“Saya hanya gembira buat penyokong, saya juga berasa sedih buat mereka selepas kami tewas 0-6 kepada Bayern Munich di laman sendiri (pada 29 April).”

Jonker kini boleh merancang untuk bermain dalam liga utama Jerman musim depan manakala Braunschweig kekal di divisyen dua.

VfB Stuttgart dan Hanover 96 secara automatik naik ke liga utama, mengambil tempat Darmstadt dan Ingolstadt, yang tersingkir ke divisyen dua. - AFP

Disiarkan pada: May 31, 2017 @ 10:17am
d