arena

Awas helah Lubnan

Oleh Aziman Rosdi

Kuala Lumpur: Ketiadaan Mohammed Ghaddar, digugurkan daripada skuad kebangsaan Lubnan, seharusnya mencetuskan lebih kebimbangan kepada Harimau Malaya dalam aksi kelayakan Piala Asia 2019 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin 13 Jun ini.

Berdasarkan senarai 23 pemain dikeluarkan jurulatih Lubnan Miodrag Radulovic, penyerang sensasi Liga Super dengan ledakan 18 gol musim ini, Ghaddar tiada dalam pasukan dengan tempatnya diambil alih penyerang kelab liga dua EFL Forest Green Rovers FC Omar Bugiel.

Bagaimanapun rakan senegaranya Abu Bakr Al Mel yang menyarung jersi Kelantan selepas Ghaddar berpindah ke Johor Darul Ta’zim (Johor DT) bulan lalu bakal memperkuatkan jentera serangan Lubnan bersama tonggak utama Hassan Maatouk dan Hassan Cheaito serta pemain kelab Major League Soccer (MLS) Sporting Kansas City Soony Saad.

Bagi bekas jurulatih kebangsaan yang kini bersama FELDA United B Sathianathan, beliau percaya skuad kebangsaan di bawah kendalian jurulatih baru dari Portugal Nelo Vingada harus lebih berwaspada.

“Walaupun Ghaddar penjaring terbanyak di Malaysia tidak ada dalam pasukan Lubnan, ini membuktikan mereka mempunyai ramai pilihan pemain dan tidak bergantung kepada seseorang pemain saja.

“Kita tahu ramai pemain Lubnan bermain di luar negara dan jika kita anggap Ghaddar penyerang bahaya di sini, sebenarnya mereka ada pemain lebih bahaya jadi kita harus berhati-hati,” katanya kepada Arena Metro semalam.

Berdasarkan laporan, difahamkan ketiadaan Ghaddar, 33, disebabkan masalahnya dengan Radulovic.

Tanpa Ghaddar, Radulovic bagaimanapun menyenaraikan pertahanan import FELDA United Moataz Al-Junaidi untuk berdepan Malaysia.

“Mungkin ini sebahagian taktikal jurulatih Lubnan yang fikir pemain Malaysia sudah tahu cara permainan Ghaddar. Tapi beliau memanggil Moataz di bahagian pertahanan untuk menjaga pemain Malaysia nanti, kerana ada pengalaman bermain di sini,” kata Sathianathan.

Lubnan memulakan langkah kanan dalam kempen kelayakan Kumpulan B dengan menewaskan Hong Kong 2-0 hasil jaringan Maatouk dan Ghaddar manakala Malaysia tidak beraksi pada Mac lalu kerana perlawanan menentang Korea Utara ditangguhkan kepada 5 Oktober depan.

Disiarkan pada: June 1, 2017 @ 7:51am
d