arena

Azharishah Olahragawan UMP

Kuantan: Pelajar Universiti Malaysia Pahang (UMP) dari Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Sumber Asli Mohammad Azharishah Satar dinobat Olahragawan pada Majlis Malam Penghargaan Sukan UMP di Dewan Astaka UMP Gambang, baru-baru ini.

Azharishah yang menceburi sukan olahraga cemerlang apabila meraih pingat di Kejohanan Sukan Institut Pendidikan Tinggi (SUKIPT) dan Kejohanan Olahraga MASUM 2016.

Gelaran Olahragawati pula menjadi milik Cheong Pui Kei dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan menerusi sukan taekwando.

Pemenang menerima trofi, sijil penghargaan dan wang tunai RM500.

Hadiah disampaikan Naib Canselor UMP Profesor Dato’ Dr Daing Nasir Ibrahim. Hadir sama Pengarah Majlis Sukan Pahang Mohamed Rashdan Mohamed Razali, Pendaftar UMP Abd Hamid Majid dan Pengarah Pusat Sukan & Kebudayaan UMP Abd Rahman Safie.

Menurut Dr Daing Nasir, UMP meraikan kejayaan dan kecemerlangan atlet yang mencurahkan bakti mengharumkan nama institusi itu dalam bidang sukan sepanjang 2016.

“Pada tahun lalu seramai 11 atlet UMP yang menyertai Sukan Malaysia 2016 (SUKMA) di Sarawak dengan terpilih mewakili beberapa negeri seperti Pahang, Wilayah Persekutuan, Selangor, Terengganu & Sarawak menerusi pelbagai sukan termasuk boling padang, memanah, petanque, renang, taekwando dan karate.

Beliau berbangga dengan pencapaian prestasi UMP apabila meraih lima emas, 11 perak dan 10 pingat gangsa.

Disiarkan pada: June 1, 2017 @ 8:10am
d