arena

Mahu ubah angin

Oleh AFP

London: Riyad Mahrez, seorang daripada inspirasi di sebalik kejayaan Leicester City menjuarai Liga Perdana Inggeris musim lalu, memberitahu kelab itu dia mahu berpindah, katanya dalam satu kenyataan kelmarin.

“Di sebalik kekaguman dan hormat saya terhadap Leicester City, saya secara jujur dan telus memberitahu mereka saya berasa kini masanya untuk saya berpindah,” kata Mahrez.

Mahrez, 26, seorang daripada bintang Leicester dalam skuad juara 2015-16 dan menyinar apabila mereka layak ke suku akhir Liga Juara-Juara musim ini, namun ketika kelab itu berakhir di tangga ke-12 liga, dia kini mahu melangkah pergi.

Sumber terdekat Mahrez menyatakan pemain sayap Algeria itu hanya akan meninggalkan Leicester jika dipancing “kelab besar” dan belum menerima sebarang tawaran.

Mahrez, yang dipilih sebagai Pemain Terbaik Tahunan PFA musim lalu menyatakan masa bagi perpindahannya sudah dipersetujui bersama pengerusi Vichai Srivaddhanaprabha tahun lalu.

“Saya mempunyai perbincangan yang positif bersama pengerusi pada musim panas lalu dan bersetuju ketika itu saya akan kekal buat setahun dalam usaha membantu kelab sebaik mungkin berikutan transisi daripada kemenangan liga dan layak ke Liga Juara-Juara,” kata Mahrez.

“Namun saya bercita-cita besar dan berasakan kini masanya untuk mencari pengalaman baru.

“Saya sering mempunyai hubungan baik bersama pengerusi dan setiap orang di kelab ini dan harapnya saya mampu membalas semua itu dengan persembahan dan komitmen di tengah padang ketika berada di sini.”

Leicester mengikat Mahrez dari kelab divisyen dua Perancis, Le Havre pada Januari 2014 dan dia memainkan peranan penting ketika kempen melonjak liga dari Liga Kejuaraan pada 2014-15.

Pemain sayap lincah itu memperagakan beberapa siri persembahan menakjubkan musim lalu, menyumbat 17 gol dan membentuk persefahaman jitu di bahagian serangan bersama Jamie Vardy ketika Leicester mencetus sensasi merangkul kejuaraan.

Disiarkan pada: June 1, 2017 @ 9:26am
d