arena

Pakar terapi Datuk Nicol meninggal

Oleh BERNAMA

PAKAR Terapi Tisu Lembut, Ronald Fauvel yang berkhidmat di bahagian Podium meninggal dunia awal pagi hari ini di Hospital Kuala Lumpur (HKL) disebabkan komplikasi pernafasan.

Menurut Institut Sukan Negara (ISN) dalam kenyataan media hari ini, Fauvel, 59, mula berkhidmat dengan ISN pada 15 Jun 1995 yang terletak di Stadium Jalan Raja Muda dan ditugaskan mengendali pasukan olahraga di bawah program Jaya 98.

"Beliau juga merupakan pakar terapi urut khusus buat jaguh skuasy negara, Datuk Nicol David dan mengiringi pemain itu di setiap kejohanan dalam dan luar negara," menurut kenyataan dikeluarkan menerusi Facebook ISN hari ini.

Mendiang meninggal pagi tadi, meninggalkan seorang balu dan dua anak lelaki. Pemergian mendiang Fauvel turut mendapat perhatian bekas Ketua Pegawai Eksekutif ISN Datuk Dr Ramlan Abd Aziz yang menyifatkan beliau seorang yang baik hati serta mempunyai pengalaman dan kepakaran yang tinggi dalam bidangnya.

"Tidak pasti sebab kematian tetapi beliau pernah dimasukkan ke wad hospital kerana demam virus baru-baru ini.

Beliau banyak menyumbang jasa dan bakti kepada sukan negara sejak mula bertugas di ISN. Salam takziah kepada anggota keluarganya di Kanada.

"Saya berasa amat sedih atas pemergiannya kerana lama bersahabat dan bekerja bersama mendiang selaku ketuanya," kata Dr Ramlan menerusi akaun Facebook miliknya.

Disiarkan pada: June 1, 2017 @ 4:57pm
d