arena

Keon tak 'takut' kehadiran Aidil

Johor Bahru: Kehadiran semula Aidil Zafuan Abd Radzak dalam kem latihan pusat skuad kebangsaan tidak menghalang hasrat pemain pertahanan Kedah Khairul Helmi Johari untuk merebut posisi bek tengah pasukan.

Malah, Khairul Helmi yang lebih dikenali sebagai Keon menganggap penyertaan semula Aidil Zafuan pastinya memberi lebih kekuatan di benteng pertahanan skuad kendalian Nelo Vingada sekali gus mencetuskan persaingan sihat dalam kalangan pemain.

Katanya, Aidil Zafuan bukan satu-satunya pesaing untuk posisi berkenaan kerana turut dicabar Shahrul Kalam dan Shahrul Mohd Saad.

“Ketika sesi latihan pertama saya agak kepenatan selepas baru tiba di Johor Bahru dari Alor Setar, namun sejak dua hari lalu, tahap kecergasan semakin memuaskan.

“Saya tidak anggap kehadiran semula Aidil Zafuan bakal menjejaskan peluang saya sebaliknya akan menambah kekuatan di posisi pertahanan.

“Persiapan juga berjalan lancar, walaupun baru menjalani latihan di bawah kendalian jurulatih baru. Ketika ini, latihan tertumpu kepada kekuatan fizikal, belum lagi taktikal,” katanya.

Dia yang mendapat cap pertama bersama skuad senior ketika aksi persahabatan menentang Singapura, 26 November lalu, teringin untuk terus kekal dalam kesebelasan utama.

Katanya, kerjasama sepasukan, persefahaman dan persiapan rapi juga penting sebelum berdepan Lubnan pada aksi di Stadium Tan Sri Hassan Yunus, Larkin, 13 Jun ini.

“Tidak sampai dua minggu sebelum berdepan Lubnan dan pastinya saya sendiri mahu menggandakan latihan kerana terpilih atau tidak, saya harus bersiap sedia.

“Apa yang pasti kehadiran jurulatih baru diharap mampu meningkatkan kualiti permainan,” katanya.

Disiarkan pada: June 2, 2017 @ 9:08am
d