arena

Amy enggan persia peluang selepas cergas

Kuala Lumpur: Selepas diketepikan susulan masalah kecergasan dua tahun lalu, atlet gimnastik berirama (gimrama) negara, Amy Kwan Dict Weng berazam memberikan persembahan terbaik pada penampilan sulungnya di temasya Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur.

Amy, 22, pemenang pingat gangsa Sukan Komanwel 2014 Glasgow, Scotland berkata kecergasannya kini berada pada tahap terbaik dan sudah bersedia menggalas cabaran negara pada temasya dwitahunan 19-30 Ogos ini.

Dia yang teruja serta bersemangat untuk penampilan pertamanya di laman sendiri berkata fokusnya kini hanya tertumpu kepada segala persiapan dan latihan bagi melakar kejayaan sekali gus membantu Malaysia merealisasikan misi muncul juara keseluruhan.

“Saya terpaksa berehat panjang selepas melalui dua pembedahan pada September dan November 2014 sejurus pulang dari Glasgow sehingga tidak dapat kembali ke tahap kecergasan terbaik, seterusnya gagal menempatkan diri dalam senarai akhir pasukan.

“Kini, saya sudah bersedia menghadapi cabaran Sukan SEA. Saya hanya mahu berikan persembahan terbaik untuk membanggakan seluruh rakyat Malaysia,” katanya kepada pemberita pada Program Kita Juara 2017 bersama skuad gimrama di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil di sini, semalam.

Dalam pada itu, Amy mengakui beraksi di depan penyokong sendiri sedikit memberi tekanan kepadanya.

“Tak dinafikan walaupun teruja ada sedikit perasaan gementar,” katanya.

Untuk rekod, skuad gimrama negara membawa pulang dua emas dan satu perak pada edisi Sukan SEA 2015 Singapura. - BERNAMA

Disiarkan pada: June 2, 2017 @ 9:15am
d