arena

Frost mula mengorak langkah

Oleh Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Morten Frost Hansen (gambar kiri) mengakui akan ada perubahan penstrukturan jurulatih dalam badan induk itu namun masih terlalu awal untuk didedahkan percaturan bakal dilakukan.

Menurut bekas perseorangan lelaki Denmark itu, penstrukturan semula tidak bermakna mereka hanya menilai dari segi prestasi skuad negara di Piala Sudirman saja apabila sekali lagi terkandas di suku akhir, mengulangi pencapaian 2015.

“Kami tengok setiap hari bagaimana mereka berlatih dan saya sentiasa mempunyai perancangan untuk melakukan penstrukturan semula bahagian kejurulatihan sejak sekian lama,” katanya.

Jelasnya, buat masa sekarang BAM memang sedang merancang melakukan semula penstrukturan di bahagian kejurulatihan namun masih belum bersedia memberitahu kepada media.

“Saya tidak boleh beritahu apa akan berlaku. Kami akan mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T) terlebih dulu dan tengok penerimaannya. Selepas itu baru kita buat keputusan. Sukar untuk saya memberitahu sama ada ia membabitkan perubahan besar atau tidak,” kata Frost.

Berdasarkan struktur jurulatih sedia ada, Hendrawan dan Tey Seu Bock membimbing pemain perseorangan lelaki termasuk Datuk Lee Chong Wei dalam Projek Khas, manakala Indra Wijaya melatih skuad pelapis, diikuti tiga jurulatih di bahagian beregu lelaki, Jeremy Gan, Rosman Razak serta Cheah Soon Kit.

Bagi perseorangan wanita Rony Agustinus dan Sairul Amar Ayob dipertanggungjawabkan membimbing bahagian berkenaan, manakala Wong Pei Tty bersama Lim Pek Siah membimbing skuad beregu wanita.

Pemain beregu campuran dibimbing bekas pemain kebangsaan, Chin Eei Hui bersama Pang Cheh Chang.

Sementara itu, Frost bersedia membuka ruang kepada pemain profesional atau yang bernaung di bawah persatuan negeri untuk menyertai Kejohanan Dunia sekiranya ada pemain dari negara lain menarik diri.

“Kami akan beri jemputan kepada pemain negeri dan mereka perlu membiayai sendiri perbelanjaan ke sana, sama seperti Yap Rui Chen (perseorangan wanita),” katanya.

Disiarkan pada: June 2, 2017 @ 9:19am
d