arena

'Kalex kian OK'

Oleh Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Pelumba Moto2 negara Hafizh Syahrin Abdullah (gambar) berharap dapat mengekalkan aksi konsisten di Grand Prix (GP) Itali hujung minggu ini selepas meraih mata pada empat pusingan sebelum ini.

Malah Litar Mugello sememangnya memberi kenangan manis kepada pelumba PETRONAS Raceline Malaysia itu yang menamatkan perlumbaan di tempat kelima musim lalu meskipun sekadar bermula dari petak ke-15.

Justeru tidak mustahil untuk Hafizh mengulangi pencapaian itu selepas dia sendiri mengakui mempunyai pakej jentera terbaik ketika ini.

“Litar Mugello bukan mudah. Saya perlu menghabiskan banyak masa dan bekerjasama bersama jurutera pasukan untuk mendapatkan keseimbangan terbaik hujung minggu ini.

“Kemudian segala-galanya terpulang kepada saya untuk mengawal jentera ini dengan baik di litar,” katanya.

Jelas Hafizh, jentera Kalex miliknya setakat ini menunjukkan peningkatan terutama pada perlumbaan terakhir di Le Mans, Perancis yang menyaksikannya menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-12 meskipun bermula di petak ke-22.

“Semasa di Le Mans, jentera menunjukkan peningkatan amat positif dan saya berharap kami dapat mengekalkan momentum ini di Mugello,” katanya.

Sementara itu, koordinator pasukan Razmin Masli Abdul Razak berkata, beliau akan memastikan krew pasukan dapat menyediakan jentera terbaik untuk Hafizh.

“Keadaan cuaca adalah perkara yang perlu diberi keutamaan apabila dijangka hujan pada Jumaat (hari ini),” katanya.

Selepas lima pusingan, Hafizh mengumpul 19 mata untuk berada di kedudukan ke-14 keseluruhan.

Disiarkan pada: June 2, 2017 @ 9:26am
d