arena

Kim Chyi Olahragawati Politeknik

Kuala Lumpur: Olahragawati Politeknik 2016 Teoh Kim Chyi begitu bersemangat untuk mengharumkan nama institusi itu dalam sukan olahraga pada masa akan datang.

Beliau yang pernah dinobatkan Olahragawati Harapan 2015 berkata, anugerah berkenaan hadiah buat ibu bapanya yang banyak menyokongnya.

“Saya rasa lebih bersemangat untuk menyertai kejohanan akan datang selain meningkatkan prestasi serta cuba mendapatkan keputusan cemerlang,” katanya yang baru menamatkan saingan di Kejohanan Olahraga Politeknik Malaysia dan turut dipilih Olahragawati kerana memecahkan tiga rekod individu acara 800, 1,500, 3,000 serta 4x400 meter lari berganti.

Pemain hoki kebangsaan, Mohamad Ashran Hamsani pula dinobat Olahragawan yang menyaksikan 2016 menjadi tahun cemerlang buatnya apabila mewakili negara ke pentas antarabangsa.

Atlet boling padang Mohd Shaffik Abdul Murah dan Siti Solehah Halim, kedua-duanya dari Politeknik Kota Kinabalu dipilih Olahragawan Harapan dan Olahragawati Harapan.

Jurulatih taekwondo I Paneer Selvam menerima anugerah Jurulatih Terbaik, manakala Saiful Azizi Abdullah dipilih Pengurus Pasukan Terbaik.

Anugerah Kecemerlangan Sukan Politeknik (POLYSEA) diadakan setiap tahun bagi menghargai golongan atlet dan pegawai yang menjulang nama Politeknik Malaysia dalam sukan di peringkat negeri ke antarabangsa.

Disiarkan pada: June 2, 2017 @ 9:35am
d