arena

Bola Shebby: Siapa jaguh Eropah?

Oleh Serbegeth Singh

Perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah menemukan dua pasukan terbaik dunia, Real Madrid serta Juventus yang masing-masing memilik pelbagai gelaran dengan individu menarik.

Kelab gergasi Sepanyol, Real Madrid dan Juventus (Itali) terpaksa beraksi dalam perlawanan penentuan yang tidak harus dianggap sebagai kemenangan atau kegagalan salah satu pasukan itu.

Kita sedia tahu Gianluigi Buffon adalah legenda yang namanya harus disebut senada dengan Lev Yashin, Gordon Banks dan Dino Zoff. Penjaga gol ini amat mengagumkan dengan prestasi serta sikap menawan seperti mana usianya.

Penjaga gol Real, Keylor Navas yang berasal dari Costa Rica juga memiliki prestasi mengagumkan kerana penyokong kelab Sepanyol itu tidak lagi menyebut nama Iker Cassillas. Mungkin kebolehan serta persembahan dipamerkan Navas menyaingi atau melepasi tahap Cassillas.

Pemain bek tengah terbaik di dunia juga akan turun mewakili Real dengan gelaran itu milik Sergio Ramos yang dianggap pertahanan paling lengkap. Dia juga pertahanan luar biasa kerana menjadi pemain yang selalu memberi tekanan psikologi kepada mana jua penyerang.

Setiap penyerang yang bakal menghadapi Ramos lebih menumpukan perhatian mengelak daripada bertemu pertahanan berkenaan dan bukan memikirkan bagaimana cara untuk mengatasi pemain kebal lagi kental itu.

Bek tengah pasukan Juventus, Leonardo Bonucci pula boleh digelar pertahanan terbaik kerana beraksi di posisi ‘sweeper’ atau ‘libero’ kerana penguasaan bola oleh Juventus.

Bonucci menjadi sweeper apabila Juventus hilang bola tetapi menjadi libero atau pemain tengah tambahan sebaik saja kelab Itali itu memiliki bola.

Di bahagian tengah pula, Luka Modric menjadi pemain terbaik kerana persembahan yang sudah matang untuk menentukan rentak persembahan Real. Pemain kecil ini jarang diberi tumpuan kerana mempunyai rakan di posisi tengah yang lebih [ternama’ atau popular. Bagaimanapun, pemain ini menjadi pemain tengah paling berpengaruh di posisi ini.

Begitu juga Miralem Pjanic yang menjadi nadi bahagian tengah Juventus. Berbekalkan gaya serta cara tersendiri, Pjanic sudah menjadi ‘Modric’ kelab Itali itu. Pemain dari Bosnia ini seorang pemain yang paling tenang dalam keadaan huru-hara di bahagian tengah.

Paulo Dybala seperti diramalkan di kolum ini dua tahun lalu menjadi pemain yang paling menyeronokkan di dunia selepas Leo Messi. Pemain dari Argentina ini, mempunyai segala-galanya untuk menjadi pengganti Messi. Skil dan teknik serta minda tajam menjadikan Dybala sebagai pemain luar biasa dengan gaya tersendiri untuk disamakan dengan Francesco Totti yang juga legenda Itali.

Lantaran gaya serta memakai stokin seperti Totti, tidak keterlaluan sekiranya Dybala digelar ‘Left footed Totti’.

Apa pula boleh diperkatakan dan yang belum disentuh mengenai Cristiano Ronaldo? (gambar)

Musim bola sepak 2016/2017 jelas milik Ronaldo dari semua segi! Dari persembahan serta jaringan gol, Ronaldo menyinari dunia bola sepak dan Liga Juara-Juara musim ini sudah menjadi ketaksuban bagi pemain Portugal itu.

Perlawanan akhir Liga Juara-Juara 2002 ditentukan dengan jaringan istimewa apabila Real menewaskan Bayer Leverkusen.

Ketika kedudukan terikat 1-1, Zinedine Zidane melakukan sepakan lambung yang sehingga kini dianggap gol tercantik sejarah final kejohanan ini!

Adakah kehadiran Zizou sebagai jurulatih Real ini dirancang atau menjadi kebetulan?

Jurulatih Juventus Massimiliano Allegri pula tidak mempunyai profil setinggi Zidane sebagai pemain tetapi sudah sekian lama dianggap jurulatih yang bijak taktikal.

Malangnya, kejohanan ini tidak mengiktiraf juara bersama!

Disiarkan pada: June 3, 2017 @ 4:23am
d