arena

Enggan jadi tuan rumah

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Malaysia mengulangi pendirian untuk tidak membida Sukan Komanwel 2022 walaupun Kuala Lumpur disenarai pendek oleh Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) sebagai antara negara berpotensi menjadi tuan rumah temasya sukan empat tahun sekali itu.

Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tunku Imran Tuanku Ja’afar berkata mereka perlu mendapat persetujuan kerajaan sekiranya berhasrat membida temasya edisi 2022 itu kerana penganjuran temasya itu membabitkan perbelanjaan besar.

“Kita banyak berpengalaman dalam menjadi tuan rumah temasya sukan termasuk Komanwel 1988 tapi saya fikir semua orang tahu ia membabitkan kos tinggi. Oleh itu saya ingin tegaskan Malaysia tidak akan membida temasya sukan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan sidang media di akhir lawatan tiga hari Ketua Pegawai Eksekutif CGF, David Grevemberg ke Malaysia, di sini semalam.

Dalam pada itu, Grevemberg berkata, 10 bandar raya sudah menyatakan minat untuk menjadi tuan rumah edisi 2022 selepas CGF melucutkan hak bandaraya Durban di Afrika Selatan untuk menganjurkan sukan itu susulan kegagalan demi kegagalan bandar raya itu menepati tarikh akhir selain berdepan masalah kewangan.

Difahamkan antara bandar raya yang berminat menggantikan Durban adalah Perth dan Melbourne di Australia, Brimingham dan Liverpool (England) serta Victoria dan Toronto (Kanada).

Bandaraya Gold Coast di Australia akan menganjurkan Komanwel 2018 yang dijadualkan 4 hingga 15 April.

Mengenai lawatan ke Malaysia, katanya, beliau gembira melihat pelbagai pembangunan kemudahan sukan dilaksanakan pada masa ini.

“Ini lawatan ketiga saya ke negara ini sejak 2001 dan saya begitu kagum melihat pembangunan berterusan di Kuala Lumpur khususnya usaha membaik pulih beberapa venue sukan yang sememangnya contoh yang baik kepada negara anggota Komanwel dan dunia,” katanya.

Beliau tiba bersama dua lagi anggota CGF - David Leather dan Johan Baker - untuk meninjau kemudahan sukan dan kemampuan Malaysia menganjurkan temasya sukan itu. Delegasi CGF itu kemudian berlepas ke Gold Coast untuk melihat persiapan bandar raya itu untuk menganjurkan temasya sukan berkenaan tahun depan.​​​

Disiarkan pada: June 3, 2017 @ 4:33am
d