arena

Dilema Syamer

Oleh Aziman Rosdi

Kuala Lumpur: Pemain tengah skuad bawah 22 tahun negara (B-22) Syamer Kutty Abba (gambar) kini dalam dilema dalam mengejar impiannya untuk mencari tempat beraksi di Sukan SEA Kuala Lumpur, Ogos ini.

Ketika Syamer sedang giat menjalani latihan bersama skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee itu, pihak pengurusan Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP) pula mahu dia menjalani pembedahan bagi memulihkan kecederaan keting di kedua-dua belah kakinya.

Jika pembedahan itu diteruskan, ini bermakna pemain berusia 20 tahun itu terpaksa diketepikan daripada menyertai pusingan kelayakan Kejohanan B-23 AFC di Bangkok dan Sukan SEA.

Bagaimanapun Syamer percaya dia tidak perlu melakukan pembedahan itu dalam masa terdekat ini kerana kecederaan dialami tidak serius.

“Memang saya ada masalah kecederaan keting pada kedua-dua belah kaki ketika mewakili Pulau Pinang tapi sekarang tidak rasa sakit.

“Tiada masalah untuk saya bermain dan teruskan latihan bersama skuad B-22. Buat masa sekarang, saya fikir tidak perlu pembedahan itu kerana saya sendiri tidak rasa sakit.

“Sebelum ini saya ada berjumpa seorang doktor saja dan beliau menasihatkan supaya melakukan pembedahan tapi saya akan rujuk masalah ini dengan pakar lain.

“Jika saya menjalani pembedahan, ia akan mengambil masa untuk pulih, mungkin tiga hingga enam bulan. Selagi sakit itu tidak menghalang saya bermain, saya sanggup bertahan demi negara. Ini kerana kita harus ada sikap sebegitu untuk negara,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada sesi latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya kelmarin.

Ketika ini anak buah Kim Swee menjalani latihan pusat sebelum berlepas ke China bagi aksi persahabatan menentang B-22 China (10 Jun), pasukan simpanan Guangzhou R&F (13 Jun) dan Guangzhou Evergrande pada (15 Jun).

Bagi Syamer, ini kali pertama dia berpeluang menjalani latihan bersama bekas jurulatih kebangsaan Kim Swee selepas Frank Bernhardt ditamatkan kontrak Mac lalu.

“Tiada masalah untuk saya menyesuaikan diri tapi sistem kedua-dua jurulatih ini berbeza. Ini kerana jurulatih Kim Swee sangat terperinci dengan cara latihan, taktikal dan sains sukan mengikut cara persekitaran dan ini pertama kali saya berada di bawah bimbingan beliau,” katanya.

Disiarkan pada: June 3, 2017 @ 4:48am
d