arena

Nidzam tuntut Helang Merah konsisten

Oleh Izzali Ismail

Alor Setar: Ketua jurulatih Kedah Nidzam Adzha Yusoff berharap rentak anak buahnya sepanjang lima perlawanan terakhir sebelum ini mampu melonjakkan kejayaan apabila Liga Super kembali bersambung bulan depan.

Walaupun Piala FA sudah sah menjadi milik pasukannya, Nidzam tetap enggan mendabik dada dan apa yang lebih penting baginya meneruskan usaha meningkatkan prestasi Kedah.

Daripada lima perlawanan dikendalikan Nidzam, Kedah menang empat, bermula dengan Terengganu di Alor Setar (1-0), menewaskan Terengganu (3-0) di Kuala Terengganu, mengalahkan Pahang (3-2) di final Piala FA dan menundukkan T-Team (3-0) di Alor Setar sambil seri 4-4 dengan PKNS FC di Stadium Shah Alam.

Menurut Nidzam, ini bukan masa untuk mengukur kejayaan kerana perjalanan Kedah masih panjang dan beliau juga memerlukan sokongan pemain dan semua pihak bagi terus merangka strategi terbaik pasukan.

Kedah bakal kembali mengadakan latihan pada 9 Jun ini selepas berehat dua minggu dan dijangka mengadakan beberapa perlawanan persahabatan bermula 17 Jun.

Disiarkan pada: June 3, 2017 @ 4:58am
d