arena

Alize benam Agnieszka

Oleh Reuters

Paris : Berbekal kehebatan melakukan drop shot, Alize Cornet (gambar) mendapat sokongan padu penonton Perancis untuk mara pusingan 16 terakhir Roland Garros hasil kemenangan 6-2, 6-1 ke atas Agnieszka Radwanska semalam.

Pemain Perancis itu memperdayakan pemain Poland itu dengan aksi menggembirakan penyokong tuan rumah, memberi isyarat dia mampu pergi lebih jauh.

“Tiada kata untuk diluahkan,” kata Alize kepada penonton. “Sesuatu yang luar biasa dapat bermain dengan baik di gelanggang utama. Tiada senario yang lebih baik daripada ini.

“Gelanggang tanah liat bukan kegemaran tapi saya bermain dengan baik di gelanggang utama. Saya tidak membiarkan dia mengutip mata, terus memberi tumpuan kepada baseline dan cuba menggandingkannya dengan drop shot.

“Saya lihat ia menjadi lantas saya meneruskannya.”

Kedua-dua pemain itu hampir sama dalam pelbagai aspek. Agnieszka adalah juara remaja di Perancis pada 2006 dan Alize setahun kemudian.

Kedua-duanya bergantung kepada kepintaran dan bukannya kekuatan untuk menewaskan lawan masing-masing.

Sejak awal lagi drop shot Alize begitu efektif dalam menewaskan pilihan ke-20 Barbora Strycova pada pusingan sebelumnya, menggunakan senjata utamanya itu yang memberi kelebihan buatnya ketika penyokong Perancis beransur-ansur memenuhi gelanggang Philippe Chatrier lebih awal dari dijangkakan.

Alize yang pernah mara dalam kelompok 16 terakhir di sini selepas 12 percubaan, mengesan peluang terhidang dan tekanan hebat mula dirasai di gelanggang ketika cuba menewaskan lawan yang berada di ranking lebih tinggi.

Selepas saling berbalas pukulan, Alize terus melangkah mudah ketika Agnieszka cuba mengatasi pemain Perancis itu dengan aksi bertenaga. Permainan bertenaga bukan kelebihan Agnieszka dan ketika itu kesilapannya mula terdedah.

Berlatar belakangkan sorakan hebat penyokong, Alize menakluki set pertama apabila pukulan Agnieszka tersasar.

Biarpun sebelum ini Alize kelihatan gugup namun di sini, pemain berusia 27 tahun itu menunjukkan semangat kental, mematahkan pukulan lawan dan terus memberi tekanan.

Sebelum perlawanan itu, Alize, yang berada di ranking ke-43 dunia hanya menang sekali dalam lapan pertemuan mereka sebelum ini namun tidak kelihatan seperti mahu menyerah kalah.

Disiarkan pada: June 4, 2017 @ 12:01am
d