arena

Buktikan boleh!

Oleh Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Beregu campuran negara Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie berpeluang melakar sejarah peribadi untuk memenangi saingan bertaraf Grand Prix (GP) Emas sulung mereka apabila beraksi di final Terbuka Thailand hari ini.

Pasangan negara itu menempah tiket perlawanan akhir selepas menewaskan lawan dari Thailand Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai di separuh akhir semalam.

Soon Huat-Shevon bagaimanapun perlu bekerja keras sebelum mencatat kemenangan 21-19, 19-21, 21-17 dalam tempoh satu jam enam minit.

Mereka akan membuat perhitungan dengan lawan dari China He Jiting-Du Yue pada aksi final hari ini.

“Saya sangat berpuas hati dengan prestasi permainan hari ini (semalam). Kami turun beraksi tanpa sebarang tekanan.

“Hanya mahu lakukan yang terbaik dan Soon Huat juga beraksi dengan baik.

“Untuk esok (hari ini), kami tidak mahu terlalu meletakkan tekanan ke atas diri sendiri kerana hanya akan menjejaskan rentak permainan,” katanya.

Pencapaian terbaik pernah dilakar sejak Soon Huat-Shevon digandingkan adalah memenangi Cabaran Antarabangsa Malaysia serta GP Scotland tahun lalu.

Sementara itu, pemain perseorangan lelaki negara Soong Joo Ven gagal meneruskan rentak kemenangan apabila tewas pada aksi separuh akhir semalam.

Joo Ven nyata tidak mempunyai jawapan untuk mematikan langkah lawannya dari Indonesia yang juga pilihan keempat kejohanan Jonatan Christie 9-21, 18-21.

“Saya tidak beraksi baik hari ini (semalam). Saya rasa bulu tangkis lebih laju berbanding semalam (kelmarin).

“Apapun saya tetap berasakan pengalaman bermakna bertemu pemain sehebat Jonatan.

“Secara keseluruhan saya amat berpuas hati dengan pencapaian di sini,” katanya.

Disiarkan pada: June 4, 2017 @ 12:20am
d