arena

Sedia menggegar

Oleh Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Pertahanan skuad hoki negara Izad Hakimi Jamaluddin sudah bersedia untuk menggegar London apabila terpilih kembali dalam senarai 18 pemain utama negara beraksi di Separuh Akhir Liga Hoki Dunia dari 15-25 Jun ini yang juga kempen kelayakan ke Piala Dunia 2018.

Jelas Izad, dia sememangnya menanti-nantikan saat ini selepas digugurkan daripada Piala Sultan Azlan Shah, April lalu kerana demam denggi.

“Berdasarkan prestasi semasa, saya memang yakin terpilih untuk beraksi di Separuh Akhir Liga Hoki Dunia.

“Saya rasa lebih bersedia kali ini. Harap kekecewaan dulu dijadikan pengajaran semua pemain,” katanya merujuk kepada situasi sama dilalui skuad negara di Antwerp, Belgium dua tahun lalu apabila gagal layak ke Olimpik Rio.

Namun jelas Izad, situasi kali ini sedikit berbeza dan dia yakin skuad negara mampu layak ke Piala Dunia 2018.

“Sebab peluang untuk layak ke Piala Dunia lebih mudah. Cuma kita tidak boleh terlalu berasa yakin dan ambil mudah cabaran lawan,” katanya.

Izad juga mengakui tidak berasa janggal beraksi di perlawanan kompetitif dengan ketiadaan bekas penjaga gol negara, Roslan iaitu abangnya dalam pasukan kerana bersara sejak dua tahun lalu.

“Tidak ada kesan besar dalam diri saya walaupun dia sudah tiada dalam pasukan.

“Tapi kalau Roslan ada saya akui tahap keyakinan lebih tinggi. Apapun saya tetap akan menjalankan tugas seperti biasa di barisan pertahanan,” katanya.

Disiarkan pada: June 4, 2017 @ 12:24am
d