arena

Dua misi penting!

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Pengendali skuad bawah 22 tahun negara (B-22) Datuk Ong Kim Swee menegaskan dua kejohanan bakal diharungi dalam tempoh dua bulan sama penting dan sehubungan itu mahu barisan pemainnya sentiasa fokus.

Bermula dengan saingan Kelayakan B-23 Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) pada 19-23 Julai ini, skuad kendaliannya akan meneruskan perjuangan dalam temasya Sukan SEA di Kuala Lumpur pada pertengahan Ogos yang menyaksikan emas menjadi sasaran.

“Penting untuk mempunyai program yang cukup rapi. Paling mustahak, kedua-dua kejohanan itu sama penting meskipun bakal berlangsung dalam tempoh yang dekat.

“Kita harap dapat layak ke Piala AFC B-23 dan juga menjadi juara (raih emas) Sukan SEA nanti. Jadi kedua-duanya harus seimbang dengan setiap pemain perlu serius menghadapi kejohanan berkenaan.

“Kami memandang serius kedua-dua kejohanan itu tanpa melebihkan salah satu saingan kerana ini skuad jangka panjang dan mereka harus berusaha meraih kemenangan dalam setiap aksi diharungi,” katanya.

Kim Swee, 47, yang dilantik ke jawatan itu bagi menggantikan pengendali sebelum ini, Frank Bernhardt, dijadualkan mengadakan tiga aksi persahabatan di China sebagai persediaan menempuh dua kejohanan penting itu.

Mereka dijadual berdepan skuad B-22 China (10 Jun), dua pasukan simpanan - Guangzhou R&F (13 Jun) dan Guangzhou Evergrande (15 Jun) - pada aksi terakhir jelajah itu.

“Kami sudah berlatih beberapa hari dan saya lihat pasukan ini semakin baik dan menunjukkan peningkatan. Mereka meningkat dan tahap prestasi pemain secara keseluruhan amat baik sekali,” katanya.

Mengulas mengenai kehadiran tiga pemain baru bagi menggantikan Khairil Anuar Zamri, Ahmad Azriddin Rosli dan Nur Shamie Iszuan Amin, beliau mengaku berpuas hati dengan komitmen dan kesungguhan mereka walaupun hanya menyertai latihan Khamis lalu.

Trio itu membabitkan pemain Kuala Lumpur Irfan Zakaria dan Sean Eugene Selvaraj serta L Kalaiharasan (Negeri Sembilan).

“Ketiga-tiga mereka dapat mengikut corak latihan dan juga kesemua ujian yang kami lakukan. Saya rasa mereka tidak mempunyai sebarang masalah besar menyesuaikan diri dengan rakan sepasukan,” katanya.

Disiarkan pada: June 4, 2017 @ 12:34am
d