arena

Irfan teruja sertai skuad kendali Kim Swee

Oleh myMetro

Kuala Lumpur: “Saya tidak kisah bermain dalam posisi mana asalkan dapat membantu pasukan negara,” kata pemain Kuala Lumpur Irfan Zakaria (gambar kanan) yang dipanggil pengendali skuad bawah 22 tahun negara (B-22) Datuk Ong Kim Swee bagi menyertai latihan pusat negara.

Irfan, 22, antara tiga pemain baru yang dipanggil untuk menggantikan Khairil Anuar Zamri, Ahmad Azriddin Rosli dan Nur Shamie Iszuan Amin, mengakui cukup teruja dan bersedia mempamerkan aksinya.

Malah menurutnya, dia tidak kisah seandainya Kim Swee berhasrat mengubah posisinya kerana ketika beraksi bersama Kuala Lumpur, dia juga sering bermain di bahagian pertahanan selain di posisi tengah.

“Ketika bersama Kuala Lumpur, saya menjadi pemain tengah bertahan. Saya tak kisah main di posisi mana, kalau jurulatih letak di bahagian pertahanan sekalipun saya terima.

“Saya akui teruja apabila dipanggil, jadi saya akan membalas kepercayaan jurulatih dan akan memberikan yang terbaik untuk pasukan,” katanya kepada Arena Metro.

Jelasnya dia turut mengakui tidak berdepan masalah menyesuaikan diri bersama rakan sepasukan walaupun baru menyertai latihan Khamis lalu.

“Saya sudah bersama dengan pasukan ini sejak tahun lalu di bawah bimbingan Frank Bernhardt dan sudah mengenali rakan sepasukan untuk tempoh yang agak lama.

“Jadi tidak ada masalah untuk saya mencipta keserasian bersama rakan sepasukan lain,” katanya yang akan berangkat ke China bagi menghadapi tiga aksi persahabatan di negara Tembok Besar China itu.

Disiarkan pada: June 4, 2017 @ 12:37am
d