arena

Kemenangan menakjubkan

Oleh AFP

Luco di Mugello, Itali:Penunggang Ducati, Andrea Dovizioso menggembirakan penonton laman sendiri dengan kemenangan MotoGP menakjubkan di Mugello semalam yang menyaksikannya mengatasi pendahulu kejuaraan Maverick Vinales.

Seorang lagi pelumba Itali, Danilo Petrucci juga dengan jentera Ducati berada di tangga ketiga manakala bintang veteran Valentino Rossi dari Yamaha menerima pujian kerana berlumba dalam kesakitan berikutan kemalangan ketika berlatih dan berakhir di tangga keempat sesudah memulakan rentak awal.

Empat pelumba itu mencipta jurang jauh dengan pelumba lain selepas melakukan kepantasan tertinggi 340kmj di laluan lurus dan Vinales, dengan menunggang Yamaha, lebih banyak mendahului selepas menang tiga perlumbaan setakat ini musim ini.

“Kemenangan ini satu mimpi jadi nyata,” kata Dovizioso, 31, yang berasa kurang sihat semalaman namun akhirnya menewaskan Vinales dengan 1.281 saat.

“Penonton tuan rumah membantu saya dan usaha Ducati amat menakjubkan.”

Dovizioso turut mengetuai catatan sapu bersih penunggang Itali selepas Mattia Pasini menjuarai perlumbaan Moto2 manakala Andrea Migno menang tipis dalam kategori Moto3.

Ramai peminat membanjiri Mugello, kebanyakan mereka memakai baju kuning dan biru menyokong Rossi, yang membuat provokasi awal dengan memintas penunggang petak utama Vinales seawal selekoh pertama.

Namun kecederaan tulang rusuk menyaksikannya merudum ketika rakan sepasukannya Vinales memecut laju dalam usaha mengukuhkan cengkaman dalam kedudukan kseluruhan.

“Saya tidak mahu mengambil sebarang risiko pada hujung perlumbaan dan dia (Dovizioso) berakhir dengan amat bertenaga,” kata penunggang Sepanyol berusia 22 tahun itu yang menang pada Grand Prix Perancis di Le Mans sebelum ini.

“Selepas terjatuh (dalam latihan di Mugello) saya berasa sakit dan sukar bernafas jadi akhirnya saya tetap gembira dengan tangga kedua,” tegasnya. AFP

Disiarkan pada: June 5, 2017 @ 10:46am
d