arena

Hafizal wira Hotel Genting

Kuala Lumpur: Aksi konsisten sepanjang kejohanan memberi tuah buat pasukan Hotel Genting apabila menjuarai kejohanan bola sepak veteran Antara Hotel-100Plus merebut Piala Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Johari Abdul Ghani di Kolej TM Multimedia, Jalan Semarak, baru-baru ini.

Jaringan tunggal penyerang Hafizal Muhammad memadai buat Hotel Genting membawa pulang Piala Ahli Parlimen Titiwangsa seterusnya mengecewakan bekas juara dua kali Awana Genting.

Tempat ketiga dan keempat masing-masing disandang oleh Hilton Kuala Lumpur dan Glory Beach Resort Port Dickson.

Husin Zainuddin dari Awana Genting Pahang Darul Makmur muncul pemenang kasut emas manakala Hafizal dari Hotel Genting dinobat pemain terbaik final.

Karnival bola sepak veteran itu acara sukan tahunan khas untuk kakitangan hotel anjuran Zuhas Sports.

Program itu untuk memberi penghargaan kepada kakitangan hotel atas peranan besar mereka dalam industri pelancongan negara.

Semua hadiah pemenang disampaikan oleh Pengurus Acara dan Promosi 100Plus, Muhammad Fauzi Ahmad sambil diringi Pengurus Besar Hotel Glory Beach Resort, Isaac Raj serta Pengurus F&B Awana, Lawrance.

Antara pasukan yang mengambil bahagian termasuk Mandarin Oriental, Hotel Genting, Hilton Kuala Lumpur dan Awana Genting, Glory Beach Resort, Seri Pacific, Sunway Resort, Concorde Shah Alam dan Avani Sepang Goldcoast.

Pengarah program Zulkarnain Mohd Zain berkata, sam
butan kali ini memberangsangkan dengan penyertaan setiap tahun meningkat berbanding sebelum ini.

“Setiap tahun kejohanan ini menerima tambahan pasukan bertanding dan kami berterima kasih kepada semua terutama penaja emas iaitu 100Plus yang sentiasa menyokong program berbentuk riadah ini,” katanya.

Fauzi berkata, pihaknya menyanjung usaha menganjurkan kejohanan itu dan berharap lebih banyak pasukan menyertainya pada masa akan datang.

“Tidak dapat dinafikan kejohanan ini banyak mendatangkan kebaikan dan kami mahu semua yang terbabit menjaga kesihatan dan secara tidak langsung mereka mampu meningkat kualiti kerja,” katanya.

Disiarkan pada: June 5, 2017 @ 10:47am
d