arena

Misi pertahan emas seimbang

Oleh myMetro

Kuala Lumpur: Pemanah compound negara Zulfadli Ruslan (gambar) percaya misi untuk mempertahankan pingat emas Sukan SEA dalam acara berpasukan seimbang selepas aksi siri Piala Dunia di Shanghai, China hujung bulan lalu.

Menurutnya, kebanyakan pencabar dari Asia Tenggara seperti Indonesia, Thailand dan Vietnam tampil pada kejohanan di Shanghai sekali gus memberi peluang kepada pemanah negara meninjau prestasi lawan.

“Apa yang boleh saya katakan, prestasi pencabar dari Asia Tenggara tidak jauh berbeza. Tiada pemanah yang berada di tahap yang lebih baik, semua kelihatan berada pada tahap sama.

“Jadi peluang untuk kami mempertahankan emas dalam acara berpasukan seimbang. Kami perlu memanfaatkan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri dan pada masa sama tidak terlalu memandang rendah lawan,” katanya.

Pada edisi 2015, Zulfadli bergandingan bersama Mohd Juwaidi Mazuki dan Lee Kin Yip untuk menewaskan Indonesia di final.

Pada masa sama, Zulfadli turut mempunyai misi peribadi untuk membaiki pencapaian meraih perak dalam acara individu di Sukan SEA Singapura dua tahun lalu.

“Fokus utama adalah mempertahankan emas acara berpasukan namun saya turut menaruh harapan untuk sekali lagi mara ke final acara individu dan menebus kegagalan dua tahun lalu,” jelasnya.

Malaysia muncul negara paling cemerlang dalam memanah dua tahun lalu apabila meraih lima emas secara keseluruhan.

Disiarkan pada: June 5, 2017 @ 10:49am
d