arena

Harrif gesa ubah laluan

Oleh Azlan Muhammad Zain

Kuala Lumpur: Jaguh berbasikal lebuh raya Harrif Saleh (gambar) berharap laluan perlumbaan acara lepas beramai-ramai diubah sekiranya mahu memastikan Malaysia mempertahankan emas pada Sukan SEA, Ogos depan.

Pelumba Terengganu Cycling Team (TSG) itu antara yang mencuba laluan perlumbaan semasa aksi prakejohanan di Nilai, Negeri Sembilan hujung bulan lalu.

Bagaimanapun selepas aksi itu, Harrif menyifatkan dia bersama rakan lain akan berdepan kesukaran untuk mempertahankan emas yang dimenangi di Singapura dua tahun lalu.

“Secara jujurnya saya dapat berasakan laluan yang digunakan bakal memberikan kesukaran untuk Malaysia mempertahankan emas kerana kebanyakannya agak mendaki. Saya sendiri pasti berdepan masalah.

“Ia bukanlah pendakian yang tinggi namun dijangka banyak membuka peluang kepada pelumba luar seperti Indonesia dan Filipina melakukan pemecahan. Saya ada membincangkan perkara ini dengan jurulatih (Jeremy Hunt) dan pengurus pasukan (Omar Saad),” jelasnya.

Ujarnya, ia berbeza ketika dia memenangi acara lepas beramai-ramai di Singapura apabila perlumbaan berlangsung dalam laluan lebih landai dan memberi keselesaan kepada pelumba negara merangka strategi dan seterusnya menaiki podium.

“Bagi saya sendiri, laluan ini agak berat. Jadi saya harap ia boleh diubah dengan laluan yang lebih landai bagi mencerahkan peluang aupaya pelumba negara meraih kejayaan di tempat sendiri,” katanya.

Harrif dan Anuar Manan akan menjadi taruhan utama skuad negara bagi memastikan emas acara lepas beramai-ramai dan kriterium.

Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) pada November lalu mengumumkan laluan rasmi perlumbaan Sukan SEA kira-kira 150 kilometer yang bermula dan berakhir di Nilai.

Disiarkan pada: June 5, 2017 @ 10:53am
d