arena

Pertimbang hukuman jika...

Oleh Aziman Rosdi

Petaling Jaya: Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) mungkin akan menimbang untuk meringankan hukuman pemotongan mata kepada Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) andai mereka berjaya menyelesaikan segala dokumen pendaftaran pasukan sebelum Ahad ini.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP Kevin Ramalingam, masih ada ruang untuk KAFA melengkapkan urusan pendaftaran Liga Malaysia 2017 yang menyaksikan skuad The Red Warriors dikenakan hukuman pemotongan enam mata pada 2 Mei lalu.

“FMLLP sudah memberikan penjelasan berhubung apa yang perlu dibuat oleh KAFA dan KAFA sendiri bersetuju untuk mengemukakan dokumen yang diperlukan sebelum tempoh perpindahan kedua pemain berakhir.

“Ia bergantung kepada keputusan Lembaga Pengarah FMLLP (mengurangkan hukuman), jika kami terima rayuan atau dokumen KAFA yang lengkap, kami boleh bawa perkara ini ke Lembaga Pengarah FMLLP, tapi kami tak boleh cakap dulu rayuan itu diterima atau tidak,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan wakil KAFA semalam.

FMLLP sebelum ini mengambil tindakan tegas dengan menolak enam mata Liga Super kerana gagal menyelesaikan beberapa tuntutan berkaitan tunggakan gaji pemain, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), PERKESO dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sebelum 31 Mac lalu yang diperlukan bagi melengkapkan urusan pendaftaran pasukan musim ini.

Selain Kelantan, satu lagi pasukan Liga Super T-Team turut dikenakan hukuman sama serta dua pasukan Liga Perdana Perlis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) namun T-Team dan Perlis berjaya mengurangkan hukuman kepada tiga mata selepas mengemukakan rayuan.

Selain untuk mengemukakan rayuan hukuman pemotongan mata, KAFA perlu melengkapkan dokumen untuk mendaftarkan pemain import baru sebelum tarikh akhir 11 Jun ini.

Sementara itu pertemuan selama sejam antara FMLLP dan KAFA dilihat meredakan sedikit ‘perang’ antara kedua-dua pihak sebelum ini.

“Ini kali pertama pertemuan ini diadakan, jika kami berbincang lebih awal mungkin boleh selesai awal seperti pasukan lain,” jelas Kevin.

Disiarkan pada: June 6, 2017 @ 9:10am
d