arena

Kane sedia galas misi Three Lions

Oleh Reuters

London: Penyerang Harry Kane menganggap dirinya sebagai salah seorang pemimpin dalam skuad kebangsaan England, menurut pemain berusia 23 tahun itu menjelang aksi pertamanya di peringkat senior di bawah kendalian Gareth Southgate pada perlawanan kelayakan Piala Dunia menentang Scotland, minggu ini.

Pemenang Anugerah Kasut Emas Liga Perdana Inggeris itu meledak lima gol sepanjang 17 penampilan bersama Three Lions dan penggempur Tottenham itu sudah sedia untuk memikul tanggungjawab lebih berat.

“Saya menganggap diri saya sebagai salah seorang pemimpin dalam pasukan dan saya tidak sabar untuk membuktikannya,” kata Kane.

“Saya baru berusia 23 tahun tapi ramai pemain yang lebih muda berbanding saya dalam pasukan dan saya mempunyai hubungan yang baik dengan mereka.”

Kane berkata, kehadiran beberapa pemain Tottenham dalam skuad kebangsaan England membolehkan mereka membina kekuatan sendiri.

“Saya mempunyai hubungan baik dengan semua pemain, tidak kira tua, muda serta beberapa pemain Spurs yang ada dalam pasukan,” kata Kane.

“Faktor itu banyak membantu kerana kami bermain bersama, berlatih bersama setiap hari. Justeru, kami perlu mengenali antara satu sama lain. Bukan saja di tengah padang tapi juga di luar.

“Jika ada antara kami yang kecewa atau emosinya tidak menentu, kamilah orang pertama yang sedia membantu.”

England bertandang ke Scotland untuk mengharungi perlawanan kelayakan Piala Dunia dan Kane menjangka saingan kali ini pasti lebih sengit berbanding ketika mereka menang 3-0, November lalu.

“Ia perlawanan besar; semua orang sedar kepentingan perlawanan England-Scotland apatah lagi sejarah yang berlaku antara kedua-dua negara,” katanya.

“Kami sedar bukan mudah untuk mengharunginya apatah lagi kami bermain di tempat lawan tapi dengan pasukan serta keyakinan yang kami ada, kami hanya perlu bermain dan memastikan tidak terikut-ikut dengan corak permainan mereka.”

Disiarkan pada: June 7, 2017 @ 10:16am
d