arena

Erat perpaduan masyarakat

Oleh BERNAMA

Sandakan: Larian Obor Sukan SEA dan Para ASEAN 2017 dapat memberi ruang kepada rakyat di negara ini untuk terbabit dalam temasya sukan itu, kata Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Raymond Tan Shu Kiah.

Beliau berkata, ia selari dengan tema “Bangkit Bersama KL2017” yang mementingkan perpaduan dan semangat kekeluargaan rakyat serta komuniti Asia Tenggara.

Katanya, objektif larian obor itu adalah memberi peluang kepada rakyat Malaysia untuk menyatakan sokongan secara simbolik kepada atlet yang akan bertanding dan kepada penganjuran KL2017.

Menurutnya larian obor itu dapat mempromosi KL2017 kepada penduduk tempatan secara terus dan menyemarakkan lagi kemeriahan sukan itu ke seluruh pelusuk negara beberapa bulan sebelum ia bermula.

“Pada masa sama, ia dapat memberi peluang kepada rakyat Malaysia untuk melihat secara lebih dekat obor larian yang direka khas untuk temasya sukan ini,” katanya pada acara simbolik meletakkan obor di Padang Bandaran Sandakan di sini, semalam.

Teks ucapannya dibacakan oleh Presiden Majlis Perbandaran Sandakan Datuk James Wong yang turut membawa obor di Bandar Sandakan hingga ke Padang Bandaran Sandakan.

Turut hadir Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah Datuk Masiung Banah yang mengiringi sepanjang larian obor KL2017 di negeri itu.

Masiung berkata, Sandakan menjadi lokasi keempat disinggahi larian obor KL2017 di negeri itu selepas bermula di Ranau, diikuti Keningau dan Tawau semalam.

Lokasi berikutnya adalah Kota Belud, Tuaran, Kota Kinabalu dan terakhir di Sipitang esok sebelum ia diteruskan di negeri jiran Sarawak.

Menurutnya larian obor KL2017 mencatat sejarah dalam penganjuran Sukan SEA apabila obor dinyalakan di puncak Gunung Kinabalu kelmarin oleh Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar bersama 23 pendaki, semalam.

“Harapan kami apabila Malaysia menjadi tuan rumah Sukan SEA, ia bukan saja memberi peluang menjadi juara tapi dapat mengangkat mutu sukan negara ini untuk menjadi kuasa sukan di Asia Tenggara,” katanya.

Beliau berkata, penganjuran Sukan SEA ke-29 dari 19 hingga 30 Ogos depan akan menyemarakkan lagi semangat bersukan rakyat negara ini dan sejajar usaha kerajaan menggalakkan cara hidup sihat.

Edisi kesembilan Sukan Para ASEAN dijadual dari 17 hingga 23 September.

Disiarkan pada: June 7, 2017 @ 10:27am
d