arena

NAAM cari inisiatif terbaik capai sasaran

Oleh Azlan Muhammad Zain

Kuala Lumpur: Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM) mencari inisiatif terbaik untuk memastikan sasaran awal empat emas Sukan SEA 2017 mampu dicapai.

Jelas Setiausaha Agungnya, Datuk Abdul Hamid Hassan, antara pendekatan yang diambil adalah menguatkan barisan pemanah recurve lelaki.

“Bagi recurve wanita, compound lelaki dan wanita, kami sudah memuktamadkan senarai cuma bagi recurve lelaki masih dalam pertimbangan bagi slot pemanah keempat.

“Kami cuba melengkapkan empat pemanah recurve lelaki terbaik. Kami mahu kekuatan bukan kepada acara berpasukan saja namun bagi acara berpasukan dan campuran,” jelas Hamid.

Nama Khairul Anuar Mohamad, Haziq Kamaruddin dan Akmal Nor Hasrin sudah selamat namun kedudukan Ikram Joni masih dalam pertimbangan.

“Kedudukan dia bergantung kepada persembahan pada siri kedua Piala Dunia yang sedang berlangsung di Turki. Jika kami tidak berpuas hati, tempatnya akan digantikan dengan Zharif Syahir, pemanah muda yang memenangi emas Kejohanan Memanah Asia Tenggara di Myanmar sebelum ini,” jelasnya.

Nama lain yang turut tersenarai bagi skuad memanah adalah pemenang tiga emas Sukan SEA 2015, Fatin Nurfatehah Mat Saleh, Juwaidi Mazuki dan Zulfadli Roslan dalam acara compound.

Disiarkan pada: June 7, 2017 @ 10:33am
d