arena

Kawalan keselamatan di Hampden Park ketat

Oleh AFP

Glasgow: Kawalan keselamatan lebih ketat akan dilaksanakan pada perlawanan kelayakan Piala Dunia 2018 antara England dan Scotland di Glasgow terutama selepas beberapa insiden serangan di Britain.

Persatuan Bolasepak Scotland (SFA) berkata, pagar stadium akan dibuka lebih awal berbanding biasa – dua jam sebelum perlawanan - bagi memudahkan pemeriksaan ke atas tubuh dan beg yang dibawa penonton.

Pihak berkuasa juga mewujudkan seksyen khas yang mana hanya pemegang tiket sah dibenarkan untuk berada di kawasan itu.

Perkhidmatan bas secara percuma akan disediakan dari pusat bandar ke stadium sebelum dan selepas perlawanan.

Langkah itu yang diambil hasil kerjasama polis dan Persatuan Bolasepak (FA) Inggeris perlu dilakukan selepas tiga serangan membabitkan pengganas setakat ini. Dua daripadanya berlaku di London dan satu di Manchester. Insiden itu menyebabkan 34 kematian manakala 200 lagi cedera.

“Keselamatan penonton amat penting buat SFA dan untuk itu, kami akan mengambil langkah tertentu bagi memastikan tahap keselamatan dapat dipertingkatkan,” kata jurucakap SFA.

“Peningkatan tahap keselamatan di Hampden Park termasuklah pemeriksaan beg dan tubuh sekali gus mungkin mengakibatkan kelewatan untuk memasuki stadium.

“Penyokong akan diperiksa di lima kawasan khas di perkarangan stadium manakala pemeriksaan beg akan dijalankan sebelum mereka melangkah ke tempat duduk masing-masing.”

Disiarkan pada: June 8, 2017 @ 8:28am
d