arena

Kane tak kekok jadi kapten

Oleh AFP

Burton-on-Trent: Penyerang Tottenham Hotspur Harry Kane berkata, dia sedia menggantikan Wayne Rooney selaku kapten England.

Pengurus skuad The Three Lions Gareth Southgate sudah mengetepikan Rooney, 31, dan berkata beliau akan menentukan siapa yang layak memikul tanggungjawab berkenaan dan perkara itu bakal diputuskan menerusi pemerhatian di setiap perlawanan.

Setakat ini, beliau dilihat kerap memuji tahap kepimpinan Kane dan walaupun baru berusia 23 tahun, penggempur Spurs berkenaan mengaku bahawa dia sedia memikul tanggungjawab sebagai kapten.

Ketika ditanya sama ada terlalu awal baginya untuk diberi tugas selaku kapten, Kane menjawab: “Secara peribadi, saya tidak fikir ia terlalu awal.

“Saya pernah menjadi kapten Spurs. Jika anda diberi tanggungjawab selaku kapten, banyak perkara mengenai diri sendiri yang boleh anda perbaiki.

“Ia perkara yang menarik tetapi di dalam pasukan ini - di ketika dan pada usia pemain sekarang - saya rasa kami perlukan lebih daripada seorang pemimpin.

“Bagi saya, ia bukan soal terlalu awal menjadi kapten tetapi ia hanyalah pendapat semata-mata.”

Southgate memuji pemain itu dengan berkata: “Memang hebat dapat mendengar kata-kata sedemikian. Semua pemain mengimpikan untuk menjadi kapten England dan begitu juga saya. Bagi saya, dia layak untuk tugas itu.”

Kecederaan pernah menghalang Kane daripada bermain sejak kemenangan 1-0 England ke atas Slovakia, September lalu dan selepas tidak beraksi sepanjang enam perlawanan, dia dijangka bakal tampil pada perlawanan menentang Scotland di Glasgow, awal pagi Ahad.

Kane menjaringkan 29 gol sekali gus dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Kasut Emas Liga Perdana buat kali kedua berturut-turut tetapi di peringkat antarabangsa, dia semakin terdesak apabila sekadar menghasilkan lima gol sepanjang 17 perlawanan.

Disiarkan pada: June 9, 2017 @ 9:08am
d