arena

OKS bimbang pemain tak cergas

Oleh Aziman Rosdi

Sepang: Kegagalan pemain skuad bawah 22 tahun negara (B-22) mendapat tempat beraksi secara kerap bersama pasukan masing-masing mencetuskan kebimbangan Datuk Ong Kim Swee.

Beliau berkata, pemainnya bakal menghadapi masalah kecergasan andai tidak diberi peluang beraksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) selepas pulang dari kem latihan pusat.

“Saya mempunyai ramai pemain berpengalaman tapi apa yang membimbangkan, mereka tidak mendapat peluang dalam skuad utama pasukan masing-masing apabila pulang dari China nanti.

“Sudah pasti ini akan menjejaskan tahap kecergasan jika tidak bermain kerana kita hanya ada tempoh lebih kurang tiga minggu sebelum setiap kejohanan.

“Apa sekalipun, mereka kena kerap bermain. Jika mereka mendapat peluang itu, ia tidak membimbangkan saya,” katanya sebelum berlepas ke China semalam.

Kim Swee, 46, bersama 22 pemain berlepas ke China bagi siri latihan dan perlawanan persahabatan menentang skuad B-22 China esok sebelum bertemu skuad simpanan Guangzhou R&F pada 13 Jun ini dan skuad simpanan Guangzhou Evergrande (15 Jun).

Tugas berat menanti beliau yang menggantikan jurulatih Jerman Frank Bernhardt pada Mac lalu apabila diberikan misi mengharungi pusingan kelayakan Kejohanan B-23 AFC di Bangkok, Julai depan dan Sukan SEA Kuala Lumpur, Ogos.

Skuad muda negara akan kembali ke tanah air untuk menyambung latihan di Wisma FAM pada 17-23 Jun ini sebelum diberikan cuti sementara menanti Liga-M bermula semula pada 1 Julai depan.

Kim Swee menegaskan, kunjungan anak buahnya ke China amat penting dalam membentuk sistem permainan serta menilai prestasi pemain untuk dipilih menyertai dua kejohanan utama itu nanti.

“Pemain perlu menunjukkan kemampuan masing-masing kerana saya akan menilai prestasi mereka sama ada layak untuk kekal bersama pasukan atau sebaliknya,” katanya.

Disiarkan pada: June 9, 2017 @ 9:31am
d