arena

'Mahu wang, kena beri diskaun 50 peratus'

Oleh Mohamad Zulhairie Manzaidi

Kota Bharu: Konsortium Al-Hamra selaku penaja utama Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) bersedia membantu dalam menyelesaikan hutang gaji tertunggak bekas pemain.

Pengerusinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, pihaknya akan menawarkan pelan penyelesaian itu kepada bekas pemain, baik import mahupun tempatan, yang masih belum dilunaskan hutang mereka.

Katanya, namun pelan itu hanya akan terlaksana jika mendapat persetujuan daripada mereka terbabit.

“Mana-mana pemain yang sanggup selesaikan tuntutan dengan memberi KAFA diskaun 50 peratus, konsortium akan bayar dalam tempoh 30 hari.

“Pembayaran itu akan dibuat oleh konsortium bagi pihak KAFA dan bekas pemain terbabit perlu memberi persetujuan hitam putih,” katanya menerusi entri terbaru Facebook miliknya sebentar tadi.

Beliau berkata, bagi memudahkan perkara itu (persetujuan hitam putih) pihaknya akan melantik firma guaman sebagai pemegang saham.

Katanya, mereka (firma guaman) akan menghantar surat tawaran kepada semua pihak terbabit.

“Tawaran ini dibuat secara sukarela oleh sekumpulan penaja bagi membantu mempercepatkan penyelesaian pembayaran hutang.

“Bagi yang tidak bersetuju, tiada paksaan, tapi mereka perlu tunggu seperti biasa sehingga KAFA ada keupayaan membayarnya.

“Itu hak mereka dan boleh pilih yang mana satu, kami cuba bantu kedua-dua pihak (KAFA dan pemain) tanpa prejudis,” katanya.

Disiarkan pada: June 9, 2017 @ 9:37am
d