arena

Hayunan Shahril makin mantap

Oleh Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Pakar pukulan sudut penalti negara Shahril Saabah (gambar kanan) sudah bersedia sepenuhnya untuk mengharungi saingan Separuh Akhir Liga Hoki Dunia di London sekali gus menebus aksi hambar di Piala Sultan Azlan Shah lalu.

Jelas Shahril, dengan persiapan yang sudah dilakukan sebelum ini, hanya satu saja menjadi misi skuad negara ketika ini iaitu layak secara merit ke Piala Dunia 2018 di Bhubaneswar, India.

“Saya akui pada saingan Piala Sultan Azlan Shah lalu, kami gagal memberikan aksi terbaik sebab tahap keupayaan semua pemain agak rendah selepas mengharungi Pusingan Kedua Liga Hoki Dunia.

“Malah saya sendiri tidak merasai aura kejohanan itu. Tapi kali ini kami semua sudah bersedia dan pasti akan membuktikan sesuatu di kempen kelayakan kali ini,” katanya.

Barisan pakar pukulan sudut penalti negara temasuk Shahril dikritik hebat pada kejohanan jemputan itu kerana mensia-siakan banyak peluang untuk menjaringkan gol.

Shahril yang pernah beraksi di Piala Dunia 2014 di The Hague, Belanda menambah kempen kelayakan lebih mencabar berbanding beraksi di pentas tertinggi lain.

“Sebenarnya kempen kelayakan adalah yang paling sukar kerana ia memerlukan komitmen tinggi daripada pemain termasuklah tahap kekuatan mental dan fizikal.

“Sebab kami tahu semua lawan yang ditemui di kejohanan itu cukup sukar,” katanya.

Sementara itu, Malaysian Tigers mendapat suntikan keyakinan menjelang aksi pertama bertemu pasukan ranking pertama dunia Argentina, 16 Jun ini selepas menewaskan skuad pembangunan England 4-2 pada aksi pemanas badan pertama kelmarin.

Disiarkan pada: June 12, 2017 @ 10:49am
d