arena

Soon Kit sedia bentuk gandingan terbaik

Oleh myMetro

Kuala Lumpur: Tidak banyak berselindung, Cheah Soon Kit yang dilantik menjadi ketua jurulatih beregu lelaki bersedia untuk membentuk gandingan terbaik yang bukan saja mampu membantu Malaysia muncul juara Piala Thomas 2018 tetapi meraih Kejuaraan Dunia serta emas Sukan Olimpik.

Beliau yang pernah meraih pingat perak Sukan Olimpik Atlanta 1996, mengakui selepas mempunyai sasaran yang ditetapkan oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) iaitu muncul juara Piala Thomas 2018, ia bukan perkara mustahil untuk melahirkan gandingan terbaik.

“Selepas kita mempunyai sasaran, perkara yang perlu kita lakukan adalah memberi fokus terbaik dan tidak mustahil kita mampu melahirkan beberapa gandingan terbaik lagi. Sekarang kita sudah mempunyai Goh V Shem-Tan Wee Kiong dan kita perlu cari dua lagi gandingan terbaik,” katanya.

Jelasnya, selepas dilantik menjadi ketua jurulatih, beliau sendiri juga mempunyai keinginan tinggi untuk melahirkan pemain terbaik.

“Sudah tentu ada sasaran yang saya mahu capai. Melahirkan juara dunia, Piala Thomas dan Olimpik. Semua itu adalah kejuaraan penting buat seorang pemain badminton,” kata Soon Kit.

Ditanya mengenai keputusan BAM untuk mewujudkan kembali jawatan ketua jurulatih di setiap bahagian, beliau yang pernah membantu Malaysia muncul juara Piala Thomas 1992, mengakui apa saja keputusan badan induk itu sudah memikirkan dengan sebaiknya.

Disiarkan pada: June 12, 2017 @ 10:58am
d