arena

Tiada masalah tanpa Ghaddar

Johor Bahru: Meskipun tanpa penyerang Mohammed Ghaddar (gambar), kapten Lubnan, Hassan Maatouk tetap yakin mereka masih mampu menggempur kubu Harimau Malaya dalam aksi Kumpulan B Kelayakan Piala Asia 2019 di Larkin hari ini.

Maatouk bergandingan bersama Ghaddar ketika menewaskan Hong Kong 2-0 dengan masing-masing menyumbat satu gol dalam aksi pertama kumpulan itu pada 28 Mac lalu.

Bagaimanapun Maatouk, 29, yang kini beraksi dengan kelab Al Fujairah dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) berkata, kekuatan mereka terletak kepada aksi sepasukan dan bukannya seseorang individu saja.

“Ghaddar sememangnya pemain yang bagus, berpengalaman tapi kekuatan pasukan ini terletak kepada semangat berpasukan. Kami boleh mencapai keputusan baik sebagai satu pasukan.

“Walaupun ada pemain baru dalam pasukan ini, tapi ia bukan masalah untuk kami memburu tiga mata,” katanya kepada pemberita dalam sidang media praperlawanan itu semalam.

Tanpa Ghaddar, penjaring terbanyak Liga Super, jurulatih Lubnan Miodrag Radulovic masih mempunyai Hassan Cheaito, Soony Saad dan Abu Bakr Al Mel untuk diturunkan bersama Hassan di bahagian serangan.

Sementara itu Radulovic mendedahkan beliau terpaksa mengetepikan Ghaddar atas kehendak pemain itu sendiri.

“Ia keputusan Ghaddar sendiri, dia yang membuat keputusan untuk tidak mahu bermain untuk negara. Saya tidak peduli mengenainya,” katanya.

Disiarkan pada: June 13, 2017 @ 4:22am
d