arena

FMLLP sedia patuhi pindaan FAM

Kuala Lumpur: “Jika ia membabitkan isu agenda negara, kami sedia mematuhinya dengan beberapa pindaan peraturan dalam Liga Malaysia (Liga-M) akan dilakukan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP), Kevin Ramalingam (gambar) berhubung isu pemain naturalisasi yang dibangkit Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), kelmarin.

Jelas Kevin, beliau menyokong sepenuhnya pendirian FAM yang tidak berminat untuk mendapatkan pemain naturalisasi bagi menguatkan kekuatan skuad Harimau Malaya sebaliknya lebih cenderung memilih pemain yang mempunyai darah campuran dengan Malaysia.

Katanya, FMLLP bercadang untuk memperkemaskan lagi peraturan pertandingan Liga-M untuk menghalang mana-mana awang import dengan mudah didaftarkan sebagai pemain tempatan.

“Saya tak boleh ulas lebih mendalam mengenai isu ini, tapi apa yang boleh saya katakan kami selaku badan pengendali liga tempatan bersedia untuk meminda atau mengubah beberapa peraturan pertandingan supaya ia selari dengan pendirian FAM yang enggan menerima pemain naturalisasi dalam liga kita.

“Buat masa ini, dalam rekod FMLLP belum ada lagi pemain luar yang berjaya dinaturalisasikan. Kita cuma banyak menggunakan pemain berdarah kacukan yang digunapakai oleh beberapa pasukan dalam liga.

“Malah, ada juga antara mereka kini tampil sebagai pemain kebangsaan. Namun untuk membenarkan pemain import yang tiada kaitan dengan Malaysia ditukarkan status kepada pemain tempatan FMLLP tidak akan bersetuju sama sekali,” kata Kevin ketika dihubungi Arena Metro, semalam.

Sebelum ini, terdapat usaha beberapa pasukan tempatan yang cuba mendaftarkan pemain luar menggunakan kaedah naturalisasi kepada tonggak import yang sudah bermastautin lebih lima tahun di Malaysia.

Antara pemain dikaitkan dengan isu itu adalah penyerang Pahang, Mohamadou Sumareh yang sudah beraksi di Liga-M sejak 2012 bersama Terengganu, PDRM dan Perlis.

Disiarkan pada: June 13, 2017 @ 4:28am
d