arena

Usah gadai maruah negara: Hassan

Oleh Rodly Fadly

Kuala Lumpur: “Saya sokong pendirian FAM. Jangan kita gadai maruah negara semata-mata kerana mahukan kejayaan dengan jalan pintas.”

Demikian komen bekas pemain kebangsaan, Datuk Hassan Sani mengenai dasar Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menutup pintu kepada pemain naturalisasi yang tidak mempunyai ikatan kekeluargaan dari negara ini untuk menyertai skuad kebangsaan.

FAM menyatakan pendirian itu dalam satu kenyataan yang dikeluarkan kelmarin.

Hassan berkata, walaupun kehadiran pemain naturalisasi mampu menghadirkan kejayaan segera seperti dibuktikan oleh beberapa buah negara yang mengamalkan dasar itu namun ia tidak boleh dibanggakan.

“Apa guna kita layak ke Olimpik atau Piala Dunia jika yang bermain bukan pemain Malaysia tapi pemain naturalisasi. Adakah kita boleh mendabik dada dengan kejayaan itu?

“Adakah kita sanggup menggadai maruah negara semata-mata kerana terlalu dahagakan kejayaan? Bagi saya sebagai bekas pemain, tidak sama sekali.

“Rakyat akan lebih berbangga dan menghargai sesuatu kejayaan jika dicapai dengan tenaga anak tempatan. Buktinya, kejayaan skuad Olimpik 1972 dan 1980 masih terus dikenang sekalipun sudah berpuluh-puluh tahun berlalu,” katanya.

Hassan, antara wira yang membawa skuad negara ke Olimpik 1980, menganggap Malaysia mempunyai sumber yang cukup untuk melahirkan pasukan mantap, cuma memerlukan perancangan rapi serta kesabaran.

“Kita tidak ketandusan pemain berbakat, cuma FAM perlu bijak mencungkil serta membuat perancangan jangka panjang secara tersusun.

“Jika kita mengambil pemain naturalisasi, sudah pasti anak tempatan akan dianaktirikan. Bakat mereka akan sia-sia dan hilang begitu saja.”

Disiarkan pada: June 13, 2017 @ 4:30am
d