arena

Semangat perwira

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

Simunjan, Sarawak: Kemeriahan Larian Obor Kuala Lumpur 2017 (KL2017) bersempena Sukan SEA ke-29 dan Sukan Para ASEAN kesembilan di Bahagian Samarahan menampilkan kelainan apabila turut disertai pegawai dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), semalam.

Larian yang bermula dari Jambatan Batang Sadong dan berakhir di Padang Sentral, Pekan Simunjan sejauh 20 kilometer turut melalui beberapa buah kampung di sepanjang laluan berkenaan.

Larian itu disertai Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar bersama kira-kira 500 pegawai dan anggota tentera dari Markas 1Divisyen Infantri Kem Muara Tuang bersama 100 pelari dari Telekom Malaysia Berhad (TM).

Obor itu kemudiannya dibawa ke Pekan Sentral Simunjan sebelum Pengurus Besar TM Sarawak Sarbini Hamdan menyerahkan kepada Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nancy Shukri.

Sarbini berkata, sambutan yang diberikan penduduk sekitar Sadong Jaya dan Simunjan begitu menggalakkan walaupun dalam bulan Ramadan.

Menurutnya, semangat tinggi yang menakjubkan itu membuktikan sukan mampu menyatupadukan pelbagai lapisan masyarakat.

“Larian Obor Kuala Lumpur 2017 (KL2017) bersempena Sukan SEA ke-29 dan Sukan Para Asean kesembilan bermula di Lawas, Miri, Sibu, Samarahan sebelum dibawa ke Kuching yang merentasi jarak larian lebih 600 kilometer.

“Walaupun berpuasa, semangat yang ditunjukkan peserta termasuk Menteri Belia dan Sukan amat tinggi dan ini memberikan suntikan kepada atlet negara untuk terus berjuang dalam Sukan SEA-29,” katanya ketika ditemui di Padang Sentral, di Pekan Simunjan, semalam.

Turut hadir memeriahkan acara Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah dan Panglima 1Divisyen Infantri Malaysia Mejar Jeneral Datuk Stephen Mundaw.

Sepanjang larian itu, obor dibawa melalui tempat ikonik yang terpilih di seluruh negara sebelum ke Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 19 Ogos depan bagi menyalakan api KL2017 tanda bermulanya temasya sukan itu.

Sukan SEA akan berlangsung dari 19 hingga 30 Ogos depan manakala Sukan Para ASEAN dari 17 hingga 23 September.

Disiarkan pada: June 13, 2017 @ 4:34am
d